Pelupusan anjing liar di Besut, MDB bertindak mengikut undang-undang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Daerah Besut (MDB) mengambil maklum isu tular berkaitan anjing liar yang mati ditembak di daerah itu yang dibangkitkan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) melalui hantaran di media sosialnya, semalam.

Menurut Yang Dipertuanya, Mohd Sukeri Ibrahim, tindakan yang diambil oleh pihaknya adalah berlandaskan prosedur undang-undang yang sesuai.

- Advertisement -

“MDB telah memaklumkan bahawa operasi ini dibuat berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990, iaitu mana-mana anjing, sama ada berlesen atau tidak, yang pemunyanya tidak ditemui, boleh dibinasakan atau dilupuskan sebagaimana yang diarahkan oleh Yang Di Pertua atau mana-mana pengawai yang diberi kuasa.

“Dalam hal ini, tindakan pihak MDB dalam pelupusan anjing liar adalah mengikut Tatacara Operasi Piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh KPKT dan selari dengan peruntukan Seksyen 30, Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membenarkan penggunaan senjata api dalam keadaan-keadaan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai isu anjing bernama Kopi dibiarkan, beliau berkata, ia adalah tidak benar kerana berdasarkan tatacara pengendalian piawai (SOP) MDB anjing tersebut perlu ditanam.

“Ketika itu, pegawai operasi dihalang oleh pengadu dan tidak dapat mengambil bangkai anjing tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, sejak Januari hingga September 2024, MDB telah menerima 62 aduan mengenai gangguan anjing liar dan sebanyak 131 tangkapan telah dilakukan di seluruh Daerah Besut.

“Pihak MDB juga turut menerima aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar yang berada di sekitar BSN Jerteh yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu,” katanya.

Pengerusi Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri juga faham akan cabaran yang dihadapi pihak PBT dalam mengutamakan keselamatan orang awam daripada ancaman anjing liar.

“Oleh itu, bagi tindakan jangka masa panjang perlu ada ruang perbincangan bersama di antara PBT bersama NGO untuk penyelesaian terhadap aduan anjing liar yang saban tahun semakin meningkat,” katanya.

Untuk rekod, operasi tangkapan dan pelupusan anjing liar telah dijalankan di sekitar Bandar Jerteh pada 6 September 2024, melibatkan 25 pegawai dan kakitangan daripada MDB, Pejabat Veterinar Daerah Besut, serta Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera. – HARAKAHDAILY 13/10/2024

- Advertisement -