
KUALA TERENGGANU: Acara International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2024 yang bakal diadakan pada 14 Disember 2024 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM37,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hadiah utama cabutan bertuah pula berupa sebuah kereta Perodua Myvi.
“Selain kenderaan tersebut, pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan melalui cabutan bertuah antaranya wang tunai, sebuah basikal, barangan elektrik serta gajet seperti iPhone 15, iPad dan TV Flat Screen,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran IGMR 2024 di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin.
Pelumba profesional terkenal dari Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh, juga telah diumumkan sebagai ikon jersi rasmi IGMR 2024 dalam majlis pra-pelancaran acara tersebut.
Beliau berkata, acara itu merupakan sebahagian daripada Terengganu Inc Challenge Series, yang kini memasuki edisi keenam sejak ia dimulakan pada tahun 2019.
“Tahun ini, TDM Berhad menjadi tuan rumah untuk menjayakan program Terengganu Inc Challenge Series : IGMR 2024 yang dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya.
Menurut beliau, acara itu terbuka kepada semua dan tidak mempunyai had penyertaan.
Kata beliau, sebanyak 12 kategori akan dipertandingkan, termasuk MTB Race and Jamboree sejauh 30 kilometer (KM) untuk kategori Elite, Men Open A, Men Open B, Men Master A, Men Master B, Men Veteran A, Men Veteran B, Women Open, Women Super Mama, E-Bike, serta Heavy Weight.
“Selain itu, juga terdapat Kategori Fun Ride 39 km bagi peserta yang minat berbasikal tetapi tidak bertanding,” katanya.
Hishamuddin berkata, penganjuran IGMR 2024 bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuhkan sukan berbasikal di Malaysia, tetapi juga sebagai usaha memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi utama bagi pelancongan sukan dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan berbasikal.
“Acara ini juga berperanan untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dan menggalakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat.

“Program seperti ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dan meningkatkan rasa bangga terhadap negeri Terengganu yang bergelar sebagai ‘Land of Cyclists’ dengan menawarkan pengalaman berbasikal yang mencabar namun mempesonakan melalui laluan-laluan yang penuh dengan permandangan yang indah dan juga penuh cabaran,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai IGMR 2024 boleh didapati di laman sosial rasmi Terengganu Inc Challenge Series. – HARAKAHDAILY 13/10/2024




















