Anggaplah PRN Melaka sudah mula – Ustaz Imran

- Advertisement -

MASJID TANAH: Mulai sekarang, Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Masjid Tanah di semua peringkat harus bekerja seolah-olah pilihan raya sudah pun bermula.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, ia sebagai persediaan terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal berakhir pada tahun 2026.

“DUN akan berakhir pada 2026, tetapi kebiasaannya pilihan raya akan berlaku setahun lebih awal, jadi kemungkinan 2025 iaitu tahun hadapan yang tinggal beberapa bulan sahaja lagi kita nak masuk tahun 2025.

“Kerana itu saya minta jentera kita di semua peringkat harus bekerja sekarang seolah-olah PRN sudah pun bermula. Kerja keras mulai sekarang, gerakkan jentera seolah-olah kita sedang dalam pilihan raya,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian kepada _Harakahdaily_ sewaktu lawatan ke Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Permatang bagi DUN Kuala Linggi di PASTI An-Nur, di sini semalam.

Beliau turut meminta agar semua ahli jawatankuasa dapat menyelesaikan dengan segera pembukaan bilik-bilik gerakan pilihan raya sama ada di peringkat DUN dan UDM sebagai markaz operasi.

“Saya minta supaya semua program adalah berkonsepkan pilihan raya agar kita dapat mewujudkan ‘mood’ pilihan raya dalam kalangan jentera kita dan juga kepada para pengundi.

“Kita mahu jentera kita bersemangat untuk bekerja dan bekerja keras untuk memenangkan mana-mana calon yang ditentukan oleh pihak Perikatan Nasional untuk PRN nanti,” katanya.

Tambahnya, pihak PAS Kawasan akan mengadakan ziarah yang lebih kerap ke UDM-UDM di dalam kawasan Parlimen itu bagi memantau kesiapsiagaan jentera untuk berhadapan kemungkinan berlaku pilihan raya.

“Saya juga mahu agar ziarah kasih bagi bertemu dengan pengundi-pengundi digiatkan lagi agar kita dapat menyantuni para pengundi kita.

“Sebelum inipun program-program kebajikan kita telah pun berjalan, cuma kali ini kita mahu ia dilipatgandakan bagi membantu rakyat di sini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini beliau berpuas hati dengan persediaan yang dibuat UDM Kampung Permatang sama ada dari segi penyusunan jentera mahu logistik.

“Saya difahamkan mereka telah juga membuat kutipan dana yang agresif bagi persediaan untuk menghadapi PRN ini. Saya harap ia dapat dilipatgandakan lagi,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha PAS Kawasan, Jamarudin Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parlimen (JPRP) PAS Masjid Tanah, Rohizan Abd Rahman serta Pengerusi UDM Kampung Permatang, Saril Ahmad. – HARAKAHDAILY 13/10/2024

- Advertisement -