Dasar Pendidikan Rabbani diterap aktiviti kokurikulum

- Advertisement -

TUMPAT: Dasar Pendidikan Rabbani turut diterapkan kepada aktiviti kokurikulum terutamanya sukan di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Timbalan Pengarah (Sekolah) YIK, Che Kamaruddin Kamil Che Muhammad berkata, dasar itu meliputi aktiviti sukan dipantau bermula cara berpakaian sehingga pengasingan pelajar lelaki dan perempuan.

Menurutnya, aktiviti sukan pelajar mesti menutup aurat termasuk lelaki.

- Advertisement -

“Pelajar lelaki mesti menutupi lutut dan pelajar perempuan bukan sahaja bertudung, bahkan perlu bersarung kaki,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Menengah Ugama Arab, Bustanus Saadah, Morak semalam.

Turut hadir mudir sekolah berkenaan Wan Fakhrurazi Wan Mahmood dan Pengerusi PIBG sekolah, Rosli Che Soh.

Dasar Pendidikan Rabbani dilancar kerajaan negeri pada 25 Februari 2018.

Falsafahnya melaksana pendidikan secara holistik dan seimbang bertujuan membentuk kemenjadian insan mulia yang berkemahiran tinggi dan realistik serta menyumbang kepada pembangunan dan pengislahan masyarakat, negara dan ummah.

Visinya sebagai peneraju pendidikan ke arah pembentukkan masyarakat rabbani.

Dan misinya membangunkan masyarakat melalui sistem pendidikan yang holistik ke arah kemenjadian insan mulia yang faqih, realistik dan bertanggungjawab.

Che Kamaruddin turut merakam ucapan tahniah kepada sekolah berkenaan yang mencipta Malaysia Book of Records kerana berjaya melahirkan tulisan tiga juta kalimah Allah baru-baru ini.

Katanya, sekolah terbabit mencipta beberapa namanya di peringkat negeri dan kebangsaan termasuk pernah menjuarai pertandingan bola tampar peringkat kebangsaan kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Malaysia (KESSUMA). – HARAKAHDAILY 13/10/2024

- Advertisement -