
KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut memberi cuti tambahan bagi sekolah-sekolah di bawah seliaannya pada 30 Oktober ini sempena sambutan Deepavali 31 Oktober.
Timbalan Pengarah YIK (Sekolah), Che Kamaruddin Kamil Che Muhammad berkata, keputusan itu dibuat selaras Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan cuti tersebut di seluruh Malaysia sempena Deepavali.
Katanya, YIK mengambil ketetapan tarikh 30 Oktober ini sebagai cuti tambahan.
“Ini bererti pelajar akan mendapat cuti selama empat hari bermula 30 Oktober, 31 Oktober (Deepavali), Jumaat dan Sabtu cuti mingguan di Kelantan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung cuti berkenaan, berikutan KPM mengumumkan cuti tambahan sempena Deepavali tahun ini.
Berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2024/2025, cuti tambahan Deepavali dipecahkan mengikut dua kategori kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B.
30 Oktober 2024 (Rabu) – Cuti Tambahan KPM (Kumpulan A)
31 Oktober 2024 (Khamis) – Cuti Deepavali (Kumpulan A dan Kumpulan B)
Bagi Kumpulan A, ia terdiri daripada sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Kategori Kumpulan B pula Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. – HARAKAHDAILY 13/10/2024











