
BALING: Daerah Baling antara kawasan yang terjejas agak teruk pada kejadian banjir gelombang kedua sejak hampir dua minggu lalu di mana situasi lebih merumitkan apabila melibatkan lumpur.
Keadaan tersebut bukan sahaja menyukarkan operasi mencuci oleh para sukarelawan, tetapi juga menyebabkan banyak kerosakan harta benda dialami penduduk.
Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia atau Khidmat Malaysia dalam pada itu terus komited membantu mangsa banjir di daerah ini yang sama sekali tidak dilupa atau dikesampingkan.
Sebanyak 100 kilogram ikan telah disumbangkan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Baling, Ustaz Hassan Saad yang juga Ahli Parlimen Baling di Kompleks PAS Baling di Kupang, di sini semalam.
Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, ikan segar itu disumbangkan kepada Dapur Rakyat Baling untuk dimasak serta diagihkan kepada mangsa banjir.
“PAS Baling sangat aktif membantu mangsa banjir, sukarelawan mencuci rumah termasuk mewujudkan Dapur Rakyat untuk menyediakan makanan dan diagihkan kepada mangsa banjir,” kata beliau.
Turut hadir ke Markas PAS Baling ketika serahan sumbangan tersebut adalah Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi.
Dalam perkembangan lain, Ustaz Hassan bersama Jawatankuasa PAS Kawasan dan Pusat Khidmat Parlimen Baling, turun padang menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
Agihan sumbangan dibuat kepada mangsa-mangsa banjir gelombang pertama dan kedua yang belum menerima bantuan antaranya di Kampung Seberang Baling dan Kampung Seberang Masjid.
Termasuk Kampung Masjid Lama, Kampung Haji Abas, Kampung Sungai Batu dan Kampung Bawah Gunung.
Dalam pada itu Dapur Rakyat Khidmat Malaysia Baling, saban hari dibuka sejak seminggu lalu bagi menyediakan makanan kepada mangsa banjir serta petugas sukarelawan. – HARAKAHDAILY 13/10/2024












