
KOTA BHARU: Tidak berbangkit kononnya kerajaan negeri tidak memberi kerjasama kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk membaiki cerucuk penghadang (sheet pile) yang dibina 40 tahun lalu di Sungai Kelantan.
Cerucuk yang dibina merentangi Sungai Kelantan di Kampung Kemubu bagi membolehkan air disedut menggunakan pam sebelum dialir ke tali air untuk mengairi sawah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan bagi memastikan penanaman padi tidak terjejas.
“Kita sudah memberi kebenaran kepada KADA untuk memperbaiki ‘sheet pile’ supaya boleh sekat air sehingga ketinggian lima meter.
“Namun cadangan membina ‘sheet pile’ hendaklah selari dengan Enakmen Sumber Air Kelantan Jabatan Sumber Air dan Kanun Tanah Negara (KTN),” katanya ketika ditemui di Kota Darulnaim hari ini.

“Kita kena selaras dengan Enakmen Sumber Air Kelantan, kalau menyekat sepenuhnya laluan air ia juga menyalahi Kanun Tanah Negara,” katanya di sini.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi KADA, Muhammad Husain mengesa kerajaan persekutuan mengadakan rundingan kerajaan negeri berhubung pembinaan cerucuk merentasi Sungai Kelantan.
Tuan Mohd Saripudin berkata, kerajaan negeri memberi kerjasama penuh bagi memberi manfaat kepada petani dan ia membabitkan isu keselamatan makanan.
Menurutnya juga sekarang KADA mempunyai dua stesen pam bagi menyedup air dari sungai untuk dialir ke tali air sebelum sampai ke sawah.
Katanya, dua pam tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik kerana paras sungai sekarang menurun akibat pemanasan global.
“Dan KADA sedang membina stesen pam ketiga yang boleh berfungsi sesuai dengan paras sungai sehingga dua meter bagi menyedup air.
“Sumber air bagi pengairan sawah di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok berpunca daripada rumah pam KADA di Kemubu.
“Sehingga sekarang saliran tidak berfungsi dengan baik biar hujan sudah turun di merata tempat memadangkan paras air Sungai Kelantan belum mencapai tahap yang sesuai dengan pam sedia ada,” ujarnya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang membentang cadangan pembinaan ‘sheet pile’ yang lebih sesuai dengan paras sungai sekarang. – HARAKAHDAILY 13/10/2024











