
ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samad menyeru agar setiap masjid di negeri mengadakan solat hajat dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.
Katanya, solat hajat itu boleh diadakan berterusan sama ada setiap minggu pada Jumaat secara berjemaah di masjid masing-masing.
“Dalam berdepan suasana cuaca yang tidak menentu termasuk bencana banjir ketika ini, solat hajat seperti ini amat digalakkan untuk memohon kesejahteraan dan dielakkan dari bencana serta musibah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sementara berkaitan sindiran sesetengah pihak khususnya para netizen kononnya bencana banjir di negeri ini dikaitkan dengan bala Allah, kata Azam, setiap musibah adalah ujian dan menjadi asbab kepada umat Islam untuk bermuhasabah.
Terdahulu, majlis solat hajat dan bacaan Yaasin juga telah diadakan pada malam Jumaat lalu, di Kompleks PAS Kedah bagi tujuan yang sama.
Kedah antara negeri yang terkesan agak teruk pada kejadian banjir bermula 18 September lalu di enam daerah iaitu, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Kuala Muda dan Kulim-Bandar Baharu.
Sementara dalam suasana banjir semakin pulih dan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibenarkan pulang, berlaku sekali lagi, banjir gelombang kedua.
Ia melibatkan beberapa kampung di daerah Padang Terap, termasuk juga daerah Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang dan Kota Setar, malah turut merebak ke daerah Sik dan Baling.
Terkini, puluhan rumah di beberapa kampung di daerah Sik dan Baling, dimasuki air semula setelah reda beberapa hari, berikutan hujan lebat malam tadi.
Ia menyebabkan paras sungai utama melebihi daripada paras bahaya dan melimpah ke kampung- kampung berdekatan. – HARAKAHDAILY 13/10/2024











