
KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) memandang serius isu tular berkenaan dakwaan kedatangan Armada Tentera Laut China yang disambut meriah di sebuah sekolah di Pulau Pinang baru-baru ini.
Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sehingga ke hari ni tiada jawapan konkrit yang menyakinkan daripada Kerajaan Madani tentang kedaulatan negara, di mana rata-rata rakyat mempertikaikan kesetiaan pihak sekolah yang menyambut pasukan dengan seragam tentera laut China itu.
“Apa yang mahu disemai dalam diri anak-anak pelajar warganegara Malaysia ini dengan mengagungkan tentera dari negara luar?
“Apatah lagi Malaysia baru sahaja ditularkan mendapat amaran daripada China untuk segera menghentikan semua aktiviti di perairan berhampiran Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, Menteri Pendidikan bukanlah menteri yang sewajarnya menjawab isu itu, malah jawapan meragukan bahawa mereka hanyalah pelajar dan pensyarah tidak dapat dibuktikan.
“Menteri Komunikasi lebih merisaukan dengan jawapan tidak peka dan sensitif yang diberikan. Di mana kenyataan Menteri Pertahanan dan Menteri Luar berhubung perkara ini?
“Lajnah Antarabangsa DMPM mendesak agar Kerajaan Malaysia bersikap serius terhadap isu kedaulatan dan maruah negara. Kerajaan mesti memastikan bahawa situasi memalukan seperti ini tidak berulang lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/2024











