
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) tegas menentang pelanggaran hak asasi manusia, ketidakadilan, dan penindasan di seluruh dunia.
Ketua Penerangannya, Dr. Balachandran Gopal Krishnan berkata, DHPP mengecam keganasan yang menyebabkan penderitaan rakyat tanpa mengira bangsa atau agama.
Menurut beliau, DHPP menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman berterusan.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan yang melibatkan kehilangan nyawa, harta benda, dan kemusnahan yang berterusan di wilayah tersebut.
“Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk bertindak lebih tegas dalam menghentikan penindasan dan mencari penyelesaian yang adil serta berkekalan bagi mengembalikan keamanan di rantau itu,” menurut beliau dalam satu kenyataan.
Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu itu berkata, DHPP menyeru rakyat Malaysia menolak semua bentuk penindasan di seluruh dunia.
Tambah beliau, DHPP komited kepada perjuangan PAS untuk keadilan dan keamanan sejagat.
“DHPP percaya bahawa setiap individu mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan yang aman, bebas daripada sebarang bentuk penindasan dan kekejaman,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, DHPP akan menyertai Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa pada Sabtu ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan golongan tertindas.
“Kami menyeru semua pihak yang cintakan keamanan dan keadilan untuk turut serta bersama kami dalam himpunan ini, bagi menyampaikan mesej bahawa kita tidak akan berdiam diri terhadap penindasan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog yang membina, penghormatan kepada hak asasi manusia, dan penyelesaian konflik secara aman.
Oleh itu, beliau berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian yang seimbang dan berasaskan keadilan sejagat.
“Dengan ini, kami menzahirkan komitmen kami untuk terus memperjuangkan keadilan dan menentang penindasan di peringkat antarabangsa, selaras dengan nilai-nilai yang didukung oleh PAS dan masyarakat yang berpegang kepada prinsip-prinsip kemanusiaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024




















