
AYER KEROH: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) sedang menyusun pergerakan bagi memobilisasikan ahli-ahlinya menyertai Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa yang akan berlangsung di Ibu Negara, Sabtu ini.
Ketuanya, Ustaz Zulhilmi Suboh berkata, penyertaan pihaknya dalam himpunan itu sangat penting bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap umat Islam di Palestin dan Lubnan yang menghadapi serangan dari Zionis-Israel.
“Insya-Allah untuk PASTI pun kita dah kerahkan. Kita mengarahkan guru-guru PASTI untuk turun. Team motosikal ARC pun kita dah kerahkan. Pemuda kawasan-kawasan ni kita akan sulamkan dengan surat untuk hari ini.
“Semalam baru dikeluarkan arahan daripada PAS Pusat. Sebelum ni kita dah uar-uarkan. Cumanya arahan bertulis tu insya-Allah hari ini kita akan terus salurkan kepada kawasan- kawasan,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak dua bas disediakan untuk membawa guru-guru PASTI, sementara ARC pula sedang mengumpulkan penyertaan daripada ahli-ahlinya untuk menghadiri himpunan itu secara bermotosikal.
“Jangkaan kita sekitar 50 ke 100 buah motosikal. Tetapi kita menjangkakan mungkin ada sedikit kekangan memandangkan sekarang musim hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di program Fun Run Fun Ride 2024 anjuran Jabatan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Melaka yang berlangsung di Taman Botanikal, di sini semalam.
Tambah Ustaz Zulhilmi, satu arahan dalam bentuk video dan surat arahan kepada Pemuda Kawasan-kawasan untuk mengajak mereka turun ke program tersebut akan disebarkan.
“Penyertaan kita dalam himpunan ini sangat wajib dan sangat penting kerana menyatakan sokongan solidariti kita terhadap rakyat Palestin.
“Himpunan Satu Tahun Taufan Al Aqsa ini untuk menyatakan bahawasanya kita umat Islam mesti ada satu kesedaran, mesti ada satu rasa sayang terhadap insan tu sendiri, terutamanya umat Islam itu sendiri,” katanya.
Katanya lagi, amat malang dan rugi sekiranya ada umat Islam tidak memikirkan kesengsaraan saudara-saudara seIslam di Palestin yang disembelih Zionis-Israel.
“Dengan ini saya mengajak seluruh pemuda Islam, tak kira parti politik, tak kira bangsa, sama-sama kita ke program Himpunan Satu Taufan Al Aqsa ini, insya-Allah,” katanya.
Dalam program Fun Run Fun Ride 2024 itu, lebih 1,500 orang murid PASTI dari seluruh Negeri Melaka telah menyertai program itu yang melibatkan dua aktiviti iaitu berbasikal dan larian bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat.
Program larian dan berbasikal secara santai dan tidak melibatkan apa-apa pertandingan itu turut disertai oleh lebih 500 ibu bapa murid-murid yang datang memberikan sokongan.
Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Al Hafiz Yahya dan Naib Ketua, Ustaz Mohd Khanapiah Nor serta Pengarah Jabatan PASTI Negeri Melaka, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin. – HARAKAHDAILY 10/10/2024











