
KANGAR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bakal menganjurkan Kejohanan Olahraga Cahya Mata Sarawak Super Series-5/Kids Athletics 2024 pada Sabtu dan Ahad, 12 dan 13 Okt ini di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini.
Kejohanan itu bertujuan untuk mengasah bakat atlet muda serta mencari pelapis atlet masa hadapan bagi negara.
Presiden KOM, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sebanyak 1,221 atlet telah mengesahkan penyertaan mereka.
“KOM telah menerima 763 penyertaan bagi kategori terbuka dan 458 bagi Kategori Kids Athletics,” katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Yayasan Pok Dan Kassim di Pengkalan Asam, di sini kelmarin.
Kejohanan tersebut akan menampilkan beberapa kategori, termasuk Kategori Terbuka Lelaki dan Perempuan dengan 10 acara yang dipertandingkan, seperti 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, lari berpagar, lompat tinggi dan lain-lain.
Bagi Kategori Kids 11-12 tahun, empat acara dipertandingkan iaitu 100 meter, 200 meter, 4×100 meter dan lompat jauh, manakala Kategori Kids 9-10 tahun melibatkan tiga acara iaitu 80 meter, 4×100 meter dan lompat jauh.
Hadiah menarik berupa medal dan wang tunai tajaan Cahya Mata Sarawak turut disediakan buat para pemenang bagi setiap kategori.
“Selain mencari bakat baru, kejohanan ini diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, atlet profesional, dan peminat sukan,” tambah Shahidan.
Antara atlet negara yang dijangka menyertai kejohanan ini adalah jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan jaguh lontar peluru, Jonah Chang Rigan serta pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.
Selain itu, kejohanan ini juga akan disertai atlet dari luar negara, termasuk Thailand, Singapura, dan Indonesia.
“Saya harap semua pihak dapat memberikan sokongan padu kepada kejohanan ini serta turut sama memeriahkan acara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/10/2024











