
JOHOR BAHRU: Pihak kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan langkah yang lebih produktif dalam menangani peningkatan kes denggi di Johor.
Yang diPertua PAS Kawasan Johor Bharu, Dr Mazri Yahya berkata, Johor Bahru telah menyumbang bilangan kes tertinggi sebanyak 7,543 kes berbanding 10,982 kes seluruh Johor (4,621 kes dari lokaliti epidemik dan 6,361 kes dari lokaliti bukan epidemik).
Beliau berkata, sehingga Minggu Epidemiologi ke-38 (ME38) tahun 2024, kes kumulatif denggi dilaporkan meningkat 45.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Kes juga meningkat 10.1 peratus berbanding ME37 iaitu dari 158 kes kepada 174 kes. Namun, bilangan ini menurun berbanding ME38 bagi tahun 2023 iaitu sebanyak 234 kes.
“Situasi ini turut menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan tindakan kerajaan negeri dalam menangani masalah ini.
“Lebih-lebih lagi apabila sebanyak 4,630 saman daripada aktiviti penguatkuasaan berjumlah RM2.3 juta telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Dewan Pemuda PAS Johor Bharu.
Tambah Mazri, fasa peralihan monsun yang berlaku pada masa ini dan dijangka akan mengalami hujan lebat turut meningkatkan risiko penambahan tempat pembiakan nyamuk Aedes sekaligus meningkatkan risiko demam denggi.
Justeru katanya, masalah yang dihadapi pada masa kini adalah kesukaran untuk mendapatkan informasi dan data mengenai laporan minggu epidemiologi bagi negeri Johor sama ada dalam bentuk infografik atau laporan melainkan kenyataan media Exco Johor.
“Carian yang kami lakukan di laman web rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor mendapati buletin EPID 2024 hanya dikemaskini sehingga minggu 23 sahaja.
“Kami mengharapkan penambah baikan dapat dilakukan dari sudut ini,” ujarnya.
Beliau turut berkata, Johor mempunyai fasiliti insektarium di Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk tujuan pengkolonian nyamuk Aedes berWolbachia bagi menyediakan telur dan nyamuk dewasa yang mencukupi.
“Pelepasan nyamuk berWolbachia antara langkah yang diperkenalkan untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes aegypti.
“Sudah pasti rakyat di Johor mengharapkan insektarium ini dapat menjalankan fungsinya secara optimum,” jelasnya.
Disamping itu, beliau turut berharap agar kerajaan Johor boleh mengambil inisiatif seperti pemasangan perangkap di kawasan taman-taman perumahan target selain aktiviti pembersihan dan gotong-royong yang dijalankan.
“Kami sudah semestinya akan menyahut segala langkah yang dijalankan bagi mensejahterakan rakyat.
“Kesihatan rakyat perlu diutamakan dan setiap inisiatif yang dijalankan harus dinilai semula agar matlamat kesihatan rakyat dapat dicapai,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024




















