
KUALA TERENGGANU: Lawatan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman ke kilang percetakan sublimasi dan jahitan di Kampung Gelugor Bilal Ali membawa harapan besar kepada industri keusahawanan tempatan.
Beliau berkata, kilang SN Creative, satu-satunya yang beroperasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, berjaya mencipta peluang pekerjaan.
“Usahawan berjaya ini bukan calang-calang orang, beliau seorang teknokrat bersama isterinya bekerja keras selama hampir 13 tahun untuk merealisasikan impian bagi membantu menaiktaraf ekonomi masyarakat setempat di sekitar Kampung Gelugor Bilal Ali dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda, ibu tunggal dan golongan asnaf.
“Kilang percetakan dan jahitan SN Creative ini dimiliki bersama oleh Najmiyati Hj Ngah dan Suzali Nordin, yang juga bertindak sebagai pengurus operasi.
“Selain itu penasihat utama bapanya iaitu HajiNgah Yusof yang merupakan Imam Masjid Gelugor Haji Tahir dan masih aktif sebagai pengamal Rawatan Alternatif Darussyifa’,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya yang juga ADUN Alur Limbat, kilang yang dibina di atas tanah seluas hampir satu ekar itu kini mempunyai 42 kakitangan.
“Berkapasiti pengeluaran sebanyak 12,000 helai pakaian sebulan, termasuk pelanggan dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berharap dengan lawatan itu, lebih banyak ruang dan peluang dapat dibuka untuk meluaskan perniagaan tersebut melalui inisiatif yang disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). – HARAKAHDAILY 9/10/2024




















