
KOTA BHARU: Individu yang terbabit dengan gerakan mendesak wilayah Borneo keluar daripada Persekutuan Malaysia wajar dikenakan tindakan tegas termasuk dilucut kewarganegaraan.
Pensyarah psikososio sebuah universiti awam, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan itu sebagai pengajaran kepada pihak yang cuba mempamerkan pemikiran songsang.
Menurutnya, biarpun kes itu dianggap terpencil kerana berlaku di luar negara, namun provokasi rentas wilayah itu condong ke arah doktrin mewujudkan kumpulan pelampau.
Kata beliau, kumpulan sayap kiri tersebut boleh mengancam keharmonian yang sifatnya multi etnik dan kaum.
“Keamanan tidak dikompromi melalui provokasi dan kempen, malah perlu dihentikan agar rakyat Malaysia terus menjalani kehidupan harmoni dan makmur,” katanya di sini.
Baru-baru ini tular video segelintir individu didakwa warga Sabah menurunkan Jalur Gemilang dengan menggantikan bendera Sabah dan Sarawak di Melbourne, Australia.
Video berdurasi lapan minit 13 saat itu dilapor berlaku di depan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne.
Berikutan itu Polis Diraja Malaysia membuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video terbabit.
Dr Zulkeflee juga berkata, tindakan individu terbabit dibimbangi boleh mengundang persengketaan kaum dan dalam konteks Perlembagaan seumpama pelancaran perang kepada Ketua Negara. – HARAKAHDAILY 9/10/2024











