
SEBELUM Merdeka, negeri-negeri di Tanah Melayu diasingkan kepada tiga kelompok oleh penjajah British:
1. Negeri Bersekutu: Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan
2. Negeri Tidak Bersekutu: Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis
3. Negeri-negeri Selat: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.
Salah satu peninggalan penjajah ialah perbezaan cuti hujung minggu di negeri-negeri tersebut. Negeri-negeri Selat dan Bersekutu telah menjadikan Ahad sebagai hujung minggu mereka sementara negeri-negeri Tidak Bersekutu menjadikan hari Jumaat sebagai cuti hujung minggu mereka.
Johor telah menukar cuti hujung minggunya pada hari Ahad pada tahun 1994 ketika Mahyudin Yassin sebagai MB Johor ketika itu. Ia dilakukan supaya diseragamkan dengan cuti hujung minggu negara dan memudahkan aktiviti ekonomi dan pembangunan.
Bermula 1 Januari 2014, negeri Johor kembali menjadikan Jumaat Sabtu sebagai hujung minggunya. Ia dititahkan oleh DYMM Sultan Ibrahim sebagai penghormatan kepada hari Jumaat sebagai penghulu segala hari serta pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Johor.
Masalah mula berlaku selepas itu, apabila kerajaan negeri bersikap ambiguiti dalam pelaksanaan titah Sultan tersebut yang mana cuti hujung minggu Jumaat Sabtu untuk agensi kerajaan dan hujung minggu Sabtu Ahad untuk agensi swasta.
Ini menimbulkan polemik dan beban di kalangan rakyat yang terpaksa mengorbankan pelbagai aspek kehidupan mereka termasuk sosial, spiritual, akademik, ekonomi dan fungsi berkeluarga mereka.
Natijahnya, hanya satu hari seminggu sahaja yang dapat dinikmati oleh seisi keluarga untuk mereka bersama. Itupun terpaksa dikongsi dengan urusan aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri kendara dan gotong-royong, aktiviti pasar untuk kelengkapan mingguan, aktiviti sukan dan riadah, aktiviti sekolah yang perlu dihadiri dan sebagainya.
Akhirnya, bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan negeri membuat pusingan 180 darjah dengan membuat cadangan kepada DYMM Tuanku Sultan Ibrahim pada 14 Jun 2022 bagi mengembalikan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bagi menyeragamkan cuti seluruh negeri. Janji Tuanku pada ketika itu ialah untuk mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan yang akhirnya dizahirkan oleh Pemangku Sultan Johor TMJ pada 7 Oktober 2024 bagi mengembalikan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Saya kira, sekiranya sahaja kerajaan negeri bertegas menjadikan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di seluruh Johor termasuk agensi swasta sejak 2014 itu, senarionya pasti akan berbeza dan tiada keperluan untuk menukarnya kembali kepada Sabtu dan Ahad.
Saya bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Karim bahawa cuti Jumaat dan Sabtu mempunyai asas yang kuat dengan budaya Johor dan pengamalan agama Islam di Johor. Kita bina Yassinan di malam Jumaat, AlKahfi di Subuh Jumaat, kenduri kendara kita utamakan Jumaat, Solat Jumaat satu ketika lengkap berbaju Melayu dan bersamping dan sebagainya. Dan tidak mundur Johor kalau tetap begitu.
Sekiranya masih ada ruang untuk kerajaan negeri mengekalkan hari hujung minggu Jumaat dan Sabtu, maka saya cadangkan supaya bertegas pelaksanaannya di seluruh negeri termasuk agensi swasta.
Sekiranya memang sudah bulat hati untuk menjadikan hujung minggu hari Sabtu dan Ahad atas desakan kepentingan ekonomi, maka saya cadangkan beberapa perkara bagi mengekalkan budaya Johor terus dimartabatkan:
1. Mewajibkan semua majikan memastikan pekerjanya diberi ruang untuk mengerjakan solat Jumaat. Tindakan tegas perlu diambil sekiranya mana-mana majikan didapati tidak melakukannya
2. Bacaan surah Kahfi diteruskan di agensi-agensi milik kerajaan negeri terutamanya 10 ayat awal dan 10 ayat terakhir surah al Kahfi
3. Pemakaian baju Melayu bersamping pelbagai warna untuk pelajar Islam pada hari Jumaat. Ini bagi mengelakkan beban tambahan kepada ibu bapa. Malah mungkin boleh dikembangkan di agensi-agensi milik kerajaan negeri yang difikirkan bersesuaian.
4. Penyediaan perkhidmatan pengangkutan ke masjid-masjid di sekolah-sekolah bagi yang memerlukan.
Malah mungkin ada banyak lagi cadangan-cadangan lain daripada rakyat Johor yang difikirkan bersesuaian untuk kebaikan bangsa Johor.
DR MOHD MAZRI YAHYA
Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru – HARAKAHDAILY 9/10/2024











