Banjir di Selangor: Peruntukan khas perlu diluluskan segera

Kamarul Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan khas bagi menangani isu banjir di negeri Selangor perlu segera diluluskan khususnya untuk memperbaiki sistem perparitan dan saliran di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Kamarul Jamaluddin berkata, sikap sambil lewa dan kegagalan menyediakan langkah mitigasi yang berkesan menampakkan kealpaan Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pakatan Harapan (PH) dalam memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat.

- Advertisement -

“Situasi ini bukan sahaja menggugat kesejahteraan penduduk, malah memberi isyarat awal akan kegagalan mereka di pilihan raya akan datang.

“Rakyat Selangor masih ingat pada Disember 2021, Selangor dilanda banjir besar yang menjejaskan hampir 80,000 penduduk dan menyebabkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion.

“Namun, tiada perancangan jangka panjang yang ketara untuk mengatasi masalah ini walaupun amaran awal diberikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia​,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, kegagalan ini jelas menjadi batu nisan pertama PH Selangor yang menatijahkan Perikatan Nasional (PN) untuk merampas 17 kerusi dan mengekalkan lima kerusi atas rekod cemerlang sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Tambah Kamarul yang juga merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Selayang, data menunjukkan bahawa banyak kawasan di Selangor seperti Klang dan Shah Alam kerap dilanda banjir akibat sistem saliran yang tidak memadai. 

“Ini menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam melabur dan memperbaiki infrastruktur asas, sekaligus menyebabkan keadaan bertambah buruk setiap kali hujan lebat.

“Malah kawasan separa bandar dan perkampungan seperti Paya Jaras di Sungai Buloh dan Kundang di Selayang juga diabaikan sehingga kelibat MB (Menteri Besar) tidak kelihatan langsung.

“Kini rakyat semakin sedar, pemimpin PH umpama peribahasa ‘paku sebatang, kuat bunyi tukul bertalu-talu.’ 

“Banjir yang terlalu kerap ini mungkin menjadi batu nisan kedua PH yang bakal dihumban rakyat Selangor,” ujarnya.

Justeru, menurut beliau, pembangunan longkang dan sungai perlu diperbaiki serta diperkukuhkan dengan teknologi terkini seperti sistem kawalan banjir bersepadu yang digunakan di negara maju.

“Perkara ini penting kerana kejadian banjir di Selangor kini terlalu kerap berlaku walau hanya hujan biasa. Sampai bila rakyat Selangor perlu hidup dalam keadaan cemas dan risau?

“Mungkin solusi paling tepat adalah menggantikan Amirudin Shari,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

- Advertisement -