
KUALA LUMPUR: “Pelaksanaan Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (ORACO) menimbulkan pelbagai persoalan mengenai jaminan terhadap tanah adat Orang Asli.”
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, walaupun ORACO diwujudkan sebagai badan yang bertujuan mengurus dan membangunkan projek penanaman semula di kawasan tanah Orang Asli, pelbagai pihak termasuk aktivis dan masyarakat tempatan mempertikaikan sama ada ia benar-benar memberi manfaat atau sebaliknya.
“Salah satu isu utama yang dibangkitkan oleh masyarakat Orang Asli ialah kurangnya rundingan telus sebelum pelaksanaan projek oleh ORACO.
“Menurut aktivis Eliana Tan, projek yang diambil alih oleh ORACO tidak mengikut prinsip persetujuan bebas, telus, dan termaklum (FPIC), yang merupakan hak asasi masyarakat Orang Asli untuk terlibat dalam keputusan mengenai tanah mereka sendiri.
“Ini melanggar hak mereka untuk menentukan nasib dan penggunaan tanah adat mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Pemuda PAS Pahang.
Tambah beliau, walaupun ORACO adalah syarikat milik kerajaan negeri, ia dikritik kerana kelihatan lebih menitikberatkan kepentingan perniagaan berbanding hak-hak adat masyarakat.
“Pelaksanaan projek ladang penanaman semula dilihat lebih berorientasikan keuntungan dengan melibatkan syarikat luar, dan bukannya mengutamakan usahawan Orang Asli tempatan.
Ini menimbulkan kecurigaan bahawa projek ini mungkin hanya menguntungkan segelintir pihak, sedangkan masyarakat asal yang menjadi penghuni tanah tersebut tidak diberikan perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.
Menurut Ahmad Azlan, projek Tanaman Semula Komersial (TSK) yang sebelum ini diuruskan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kini telah diambil alih oleh ORACO, dan menimbulkan persoalan tentang hak ke atas tanah-tanah tersebut.
“Projek ini dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk memanfaatkan tanah adat Orang Asal bagi keuntungan ekonomi tanpa melibatkan masyarakat tempatan dalam perancangan,” tambahnya.
Justeru, persoalan penting yang perlu dijawab ialah apakah ORACO benar-benar menjamin hak tanah adat Orang Asal atau hanya mengutamakan keuntungan komersial?
“Pelaksanaan yang kurang telus dan rundingan yang tidak memadai hanya akan merumitkan lagi isu tanah adat, dan ini memerlukan perhatian serius dari kerajaan serta pihak berkaitan.
“Jika matlamat sebenar adalah untuk memperkasakan masyarakat Orang Asal, ORACO harus lebih terbuka dalam melibatkan penduduk tempatan dan memastikan hak tanah adat dihormati dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024




















