
KALAU kita benar-benar memahami agama, kita boleh berhujah dan mempertahankannya dengan keyakinan. Inilah kekuatan Islam. Malangnya, hari ini bila Islam diserang, kita kadang-kadang tak mampu nak jawab kerana kita sendiri tidak cukup memahami agama ini. Malah, ada yang lebih parah, kita sendiri menolak ajaran Islam bila kita tak faham.
Contohnya, isu hudud. Banyak orang salah faham tentang hukum hudud, terutamanya bila melibatkan hukuman rejam bagi penzina atau potong tangan bagi pencuri. Ada yang mengatakan, “Curi sikit, kena potong tangan. Kesianlah.” Mereka tidak sedar bahawa hukuman potong tangan dalam Islam ada syarat-syarat ketat yang mesti dipenuhi terlebih dahulu.
Bukan asal curi barang kecil, terus kena kerat tangan. Dalam kitab fiqh, ulama menyenaraikan lebih kurang 20 syarat yang perlu dipenuhi sebelum hukuman potong tangan boleh dijatuhkan. Sebagai contoh, kecurian mesti dilakukan dalam keadaan tertentu, jumlah yang dicuri mesti melebihi had tertentu, dan barang yang dicuri mesti dari tempat simpanan yang dijaga. Curi selipar di masjid atau sekeping roti takkan menyebabkan tangan dipotong. Hukuman hudud bukan semudah itu.
Begitu juga dengan zina. Sebelum hukuman rejam atau sebat 100 rotan dijatuhkan, pembuktian mesti sangat teliti. Islam mensyaratkan beban pembuktian yang sangat berat. Nak membuktikan zina betul-betul berlaku, mesti ada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut dengan jelas dan pada masa yang sama. Mereka mesti menyaksikan perbuatan tersebut sampai ke akhirnya, sepertimana digambarkan oleh Nabi sebagai “seperti timba masuk ke dalam telaga.” (Rujuk Riwayat Imam Abu Daud, 4428).
Kalau seorang saksi nampak pada waktu pagi, seorang lagi pada waktu petang, dan yang lain pada esok harinya, hukuman hudud tak boleh dijatuhkan kerana syarat tidak cukup. Namun, ini tidak bermakna mereka terlepas daripada hukuman, cuma hukuman hudud tidak dikenakan. Mungkin ada hukuman lain yang lebih sesuai dijatuhkan.
Ramai yang tidak memahami kehalusan hukuman Islam, terutamanya bila sampai kepada hukuman sebat. Mereka anggap sebat dalam Islam itu kejam dan ganas. Mungkin kerana mereka terpengaruh dengan imej hukuman sebat di penjara moden, di mana pesalah tidak berpakaian, disebat dengan rotan setebal ibu jari, dan rotan itu diangkat setinggi-tingginya hingga kulit mereka pecah.
Sedangkan, dalam Islam, cara sebat jauh berbeza. Rotan yang digunakan hanyalah sehalus jari kelingking, dan ia diangkat rendah – tak boleh nampak ketiak. Ibarat kita mengepit buku di bawah ketiak, ketika merotan, pastikan buku itu tidak jatuh.
Maknanya, sebat dalam Islam tidak diangkat tinggi. Orang yang nak disebat pula mesti berpakaian lengkap, dan rotan tidak boleh mengenai tempat yang sama berulang kali. Sebelum dirotan, doktor akan periksa kesihatannya. Jika tak sihat, hukuman ditangguhkan dulu. Selepas sebat, doktor akan periksa lagi. Jika ada masalah, sebat dihentikan dan disambung pada hari lain.
Islam bukan bertujuan untuk menyeksa, tapi untuk mendidik dan memberi pengajaran. Contohnya, di Acheh, mereka sebat 40 rotan kepada orang yang minum arak. Katanya, fizikalnya tak sakit sangat, tapi malu di hadapan orang ramai itulah yang lebih menyakitkan. Dirotan di hadapan orang ramai selepas solat Jumaat – kesan psikologi itu yang diutamakan.
Begitu juga dengan hukuman potong tangan. Ia bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk menakutkan orang lain agar tak terjerumus ke dalam jenayah. Hukuman hudud ini bukan tentang balas dendam, tetapi sebagai pencegahan, atau disebut sebagai wiqayah – satu langkah pencegahan daripada masyarakat terus melakukan kesalahan yang sama.
Inilah hikmah besar di sebalik hukum-hukum Islam yang kelihatan keras di permukaan, tetapi sebenarnya penuh dengan rahmat dan keadilan jika kita benar-benar memahaminya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















