Tentera Israel bukanlah mustahil untuk dikalahkan – Fadhli Shaari

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berpandangan tentera Israel bukanlah satu pasukan yang mustahil untuk dikalahkan.

Beliau berkata, tarikh Himpunan Setahun Taufan al-Aqsa yang diadakan itu pernah menjadi sejarah tentera Israel dikalahkan oleh tentera Mesir dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang 6 Oktober atau Yom Kippur. 

- Advertisement -

“Pada tahun 1969 di dalam peperangan enam hari diantara beberapa buah negara arab menentang Israel pada masa itu, Israel telah mendapat kemenangan menawan beberapa lokasi strategik yang dimiliki oleh negara arab Mesir, Syria, Jordan, tetapi empat tahun kemudian Mesir mengatur serangan semula untuk berperang dengan Israel dibantu oleh pemuda-pemuda daripada gerakan Ikhwanul Muslimin.

“Berlakulah serangan kali kedua, perang yang dinamakan sittah Oktober yang berlaku di dalam bulan ramadan pada tahun 1973. 

“Sebuah benteng yang mereka (Israel) bina daripada pasir yang mana dikatakan benteng ini tidak akan runtuh sama sekali, tetapi dengan izin Allah SWT tentera Mesir menggunakan senjata daripada air, senjata meriam di mana pelurunya dibuat dibina dengan kekuatan air.

“Benteng itu runtuh pada 6 Oktober dan pada waktu itulah tentera Israel mula terkejut dengan serangan Mesir. Ini sejarahnya sebab itu tarikh hari ini merupakan tarikh yang bersejarah 6 Oktober 1973 Israel pernah kalah dan kita yakin suatu hari nanti juga mereka akan dikalahkan dengan bantuan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam  Himpunan Setahun Taufan al-Aqsa di Dataran Khairunnisa’, Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengajak umat Islam untuk terus berjuang dalam membebaskan Masjid al-Aqsa.

“Perjuangan kita tidak akan terhenti selagi kiblat kita adalah Kaabah, tuhannya Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah dan agama kita adalah Islam.

“Saya yakin bahawa anak muda dalam kalangan umat Islam bersedia untuk menyertai usaha itu, sekiranya tidak terhalang oleh sempadan dan tanggungjawab lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

- Advertisement -