
KUALA LUMPUR: Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Medicom Malaysia dan Jariyatham Ruampat Krabi Hospital (JRH Hospital, Thailand) telah diadakan pada Khamis (3 Oktober) di Hotel Tamu di sini.
Presiden Medicom Malaysia, Dr. Mohd Shafiq Wahab berkata, MoU itu diadakan untuk menjalinkan kerjasama dalam aktiviti kebajikan, kesihatan dan pendidikan.
“Fokus utama adalah program khatan kepada kanak-kanak dari golongan asnaf di rantau Asia Tenggara, khususnya di Thailand,” ujar beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Majlis tersebut dihadiri Penasihat Medicom Malaysia, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Pakar Pembedahan Plastik, KPJ Ampang Puteri yang juga Penasihat Medicom Malaysia, Miss Fatimah Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Hospital Jariyatham Ruampat, Krabi Thailand, Husna Baikadem.


Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Medicom Malaysia, Abdul Razak Mohamed serta Pengarah Perubatan Hospital Jariyatham Ruampat, Krabi Thailand, Dr. Ruhana Phannaphon Thaokloy.
Mohd Shafiq berkata, Hospital Jariyatham Ruampat merupakan satu-satunya hospital Islam swasta di Thailand dan telah beroperasi selama 30 tahun.
Beliau berkata, Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Malaysia (Medicom Malaysia) adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berfokus kepada aktiviti kebajikan dalam bentuk perubatan dan kesihatan.

Pertubuhan itu juga menurut beliau terlibat dalam memberikan pendidikan percuma kepada golongan asnaf yang telah menjalankan aktivitinya sejak penubuhannya pada tahun 2017.
Jelas beliau, sebagai sebahagian daripada program itu, turut diadakan satu lawatan kerja ke Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.
Lawatan itu menurut beliau melibatkan penerangan berkaitan pengurusan ‘Health Tourism’ di KPJ Ampang Puteri serta peluang untuk melihat sendiri peralatan terkini dan operasi di Jabatan Onkologi (Kanser).

“Diharapkan kerjasama ini akan memberi manfaat kepada ummah di kedua-dua negara,” harap beliau terhadap MoU yang ditandatangani itu. – HARAKAHDAILY 6/10/2024




















