
PERDEBATAN antara Nabi Ibrahim dan Namrud adalah satu kisah yang sering disebut dalam al-Quran, memberikan kita pelajaran yang mendalam tentang kekuasaan Allah yang tiada bandingan.
Dalam kisah itu, Nabi Ibrahim mencabar Namrud mengenai kuasa Allah dengan berkata, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka cubalah kamu terbitkan ia dari barat.” Namrud, walaupun seorang raja yang besar, tidak mampu menjawab atau melaksanakan perkara tersebut.
Firman Allah dalam al-Quran: “Maka tercenganglah orang yang kafir tadi.” Di sini, bukan hanya Namrud yang terperangkap dalam kebingungannya, tetapi ia juga merujuk kepada sesiapa sahaja yang cuba melawan kekuasaan Allah akan berada dalam situasi yang sama – lidah kelu, akal buntu.
Sangat jelas di sini, bahawa Allah tidak menyebut nama Namrud atau mana-mana raja tertentu dalam ayat ini kerana, pada hakikatnya, tiada seorang pun di dunia ini yang boleh menandingi kekuasaan Allah, termasuklah manusia zaman kini dengan segala kemajuan teknologi mereka.
Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah menghuraikan bahawa Allah sengaja tidak menyebut nama tertentu kerana mesej ini adalah untuk semua zaman, dan ia menggambarkan betapa agungnya kekuasaan Allah yang melampaui zaman dan teknologi.
Ambil contoh Jepun, yang dikenali sebagai Negara Matahari Terbit. Negara itu mempunyai lambang matahari berwarna merah kerana seolah-olah matahari terbit dari situ.
Namun, walaupun dengan segala kemajuan teknologi yang telah dicapai, tiada siapa pun di dunia ini yang mampu mengarahkan matahari untuk terbit di sebelah barat atau terbenam di sebelah timur.
Ini adalah bukti nyata bahawa Allah tetap Yang Maha Berkuasa, dan manusia hanya makhluk yang lemah, bergantung sepenuhnya kepada kekuasaan-Nya.
Inilah hakikat tauhid yang kita perlu pegang dengan teguh – segala yang berlaku di dunia ini, sama ada hidup, mati, sihat, atau sakit, semuanya atas kehendak Allah.
Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha, tetapi kuasa sebenar tetap berada di tangan Allah. Setiap peristiwa yang berlaku, walau sekecil mana pun, adalah di bawah pentadbiran Allah Yang Maha Mengetahui.
Ketika kebenaran datang, kepalsuan pasti akan hancur. Begitulah hebatnya Islam, agama yang diturunkan oleh Allah dengan sempurna. Apa sahaja persoalan, kritikan, atau serangan, Islam pasti mempunyai jawapannya.
Kenapa? Sebab Islam itu sempurna, dan petunjuknya ada dalam al-Quran dan hadis. Segala ajarannya sangat sesuai dengan fitrah manusia, dan boleh difahami oleh sesiapa sahaja yang mencari kebenaran.
Malah, Islam bukan sekadar agama yang berpegang kepada wahyu, tetapi juga logik akal dan fitrah semula jadi manusia. Setiap hukum yang ditetapkan mempunyai sebab dan hikmahnya yang mendalam, walaupun pada mulanya ia mungkin kelihatan rumit atau tidak logik pada pandangan pertama.
Ambil contoh hukum li’an, yang mana seorang suami menuduh isterinya berzina tetapi tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa di mahkamah. Dalam situasi ini, kedua-dua pihak, suami dan isteri, perlu bersumpah di hadapan hakim.
Sumpah ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan, kerana lafaz sumpah ini melibatkan laknat Allah jika salah seorang daripada mereka berbohong. Selepas sumpah dilafazkan, mereka berdua perlu bercerai, dan mereka tidak dibenarkan kembali bersama selama-lamanya.
Ada pihak yang mempersoalkan keadilan hukum ini, mendakwa ia menekan wanita, khususnya isteri. Mereka bertanya, “Bagaimana dengan nasib isteri? Siapa yang akan menjaga anak-anak? Siapa yang akan menanggung nafkah mereka?”
Pada pandangan mereka, hukum ini kelihatan seolah-olah menghukum isteri dengan keras, kerana perkahwinan mereka terpaksa berakhir dan isteri perlu berpisah daripada suami tanpa ada peluang untuk kembali.
Namun, mari kita teliti perkara ini dengan lebih mendalam dan dari sudut yang lebih tenang. Apakah asas utama dalam sebuah rumahtangga? Kepercayaan.
Kepercayaan adalah tiang seri yang memegang sesebuah rumahtangga, di samping kasih sayang dan persefahaman. Tanpa kepercayaan, tiada maknanya lagi hubungan suami isteri.
Jika seorang suami sudah sampai ke tahap menuduh isterinya berzina, dan isteri pula perlu mempertahankan dirinya daripada tuduhan berat ini, bagaimana mungkin mereka boleh terus hidup bersama dalam keadaan yang sedemikian?
Bayangkan emosi seorang isteri yang telah dituduh oleh suaminya dengan tuduhan seberat itu. Suami, pada ketika itu, sudah kehilangan kepercayaan terhadap isterinya. Dari sudut psikologi, apakah mungkin kedua-duanya dapat menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan normal?
Tuduhan seperti ini akan terus menghantui mereka, walaupun mereka memilih untuk meneruskan perkahwinan tersebut. Apa maknanya mempertahankan sebuah perkahwinan yang telah kehilangan asas utamanya, iaitu kepercayaan?
Dalam konteks ini, hukum li’an yang menetapkan perpisahan antara suami isteri sebenarnya sangat relevan dan sesuai. Apabila kepercayaan sudah hilang, tidak ada lagi asas untuk mengekalkan perkahwinan tersebut.
Maka, Islam mengajar bahawa adalah lebih baik bagi kedua-duanya berpisah demi menjaga kesejahteraan mental dan emosi mereka. Hukum ini bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi untuk melindungi kedua-dua pihak daripada penderitaan emosi yang berpanjangan.
Keputusan untuk berpisah adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak kerana mereka sudah tidak dapat mempercayai satu sama lain.
Sekiranya kita melihat perkara ini secara dangkal, kita mungkin terpengaruh dengan pandangan pihak tertentu yang mendakwa hukum ini berat sebelah. Namun, yang menarik, kebanyakan mereka yang mempersoalkan hukum ini sebenarnya tidak mempunyai pengalaman dalam membina dan mempertahankan sesebuah rumahtangga.
Malah, ada di antara mereka yang tidak pernah berkahwin atau telah bercerai. Oleh itu, mereka mungkin tidak dapat memahami betapa pentingnya kepercayaan dalam sesebuah perkahwinan dan mengapa hukum li’an ini wujud sebagai penyelesaian yang bijaksana.
Islam bukan sekadar agama yang memberikan kita panduan untuk beribadat, tetapi ia juga merupakan satu cara hidup yang sangat teratur dan lengkap.
Setiap hukum yang ditetapkan oleh Allah adalah untuk kebaikan kita, sama ada dari sudut emosi, psikologi, atau sosial. Hukum-hukum ini bukan semata-mata untuk menghukum, tetapi untuk memelihara keharmonian dan kebahagiaan hidup manusia.
Hukum li’an adalah salah satu contoh bagaimana Islam, melalui wahyu Ilahi, memberikan penyelesaian yang adil dan seimbang kepada masalah rumahtangga, dan dalam masa yang sama, melindungi hak dan martabat setiap individu yang terlibat. – HARAKAHDAILY 6/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















