
KUALA LUMPUR: Negeri Selangor kembali dilanda bencana banjir yang melibatkan ramai mangsa di beberapa daerah seperti Sungai Buloh, Paya Jaras, Ijok, Selayang, Gombak, Shah Alam, dan Jalan Kebun.
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang telah berulang kali mengalami situasi serupa.
Beliau menegaskan bahawa banjir itu bukanlah satu fenomena baharu, tetapi telah menjadi ‘acara tahunan’ yang menunjukkan kegagalan kerajaan negeri dalam menangani isu itu.
“Rakyat Selangor sudah mula jemu dengan kegagalan Kerajaan Negeri,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan bahawa Negeri Selangor adalah antara penerima peruntukan tebatan banjir tertinggi di negara ini.
Dilaporkan media tempatan bahawa pada tahun 2022, Perdana Menteri ketika itu, Dato Seri Ismail Sabri, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.3 billion untuk projek tebatan banjir, diikuti dengan RM1.1 billion oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2023.

Namun menurut Sukri, banjir masih terus melanda tanpa penyelesaian yang berkesan.
“Sebagai sebuah negeri yang paling maju dalam negara, yang menyumbang hasil tertinggi kepada KDNK negara dan mempunyai pendapatan negeri yang tinggi, ianya sesuatu yang memalukan sekiranya masalah banjir terus membelenggu Negeri Selangor,” ujarnya mengungkapkan kekecewaan.
Terangnya, dalam aspek pelaburan juga menunjukkan kebimbangan bahawa isu banjir itu mungkin menjauhkan pelabur daripada Negeri Selangor.
“Ini dapat dilihat apabila pada 2022 Negeri Selangor berada ditangga kedua dalam menerima pelaburan asing sektor pembuatan yang kemudiannya jatuh ketangga ketiga pada 2023. Bagi tahun 2024 suku pertama, Selangor gagal menempatkan diri dalam lima tempat tertinggi,” ujarnya.
Beliau mempersoalkan berapa banyak lagi peruntukan yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah banjir itu.
“Adakah dengan peruntukan tambahan berbillion ringgit lagi boleh menyelesaikan masalah banjir Selangor? Atau sebenarnya Kerajaan Negeri Selangor ketika ini sebenarnya berhadapan dengan krisis kompetensi? Menteri Besar dan Exco yang ada tidak mampu menyelesaikan masalah banjir,” persoalnya.
Ustaz Mohamed Sukri juga mencadangkan agar Perdana Menteri ke-10 memberi tumpuan kepada Negeri Selangor yang dilihat gagal mengurus bencana banjir.
“Daripada fokus kepada Negeri Kedah dan Menteri Besar Kedah yang mampu menguruskan negeri dengan baik.
“Jangan jadi seperti peribahasa ‘Kuman di seberang laut nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak,’” tegasnya. – HARAKAHDAILY 6/10/2024




















