Sikap MB Kedah wajar dijadikan contoh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sikap berjiwa besar yang dipamerkan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor wajar dijadikan contoh yang baik kepada semua pihak.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Abdul Basith Abdul Halim berkata, tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini kecuali para Nabi dan Rasul.

- Advertisement -

“Maka, beruntunglah bagi mereka yang sedar dengan kekhilafan itu dan berusaha memperbaiki dirinya,” katanya dalam akaun media sosial Facebook Pemuda PAS Selangor semalam.

Menurut beliau, dengan penuh rendah diri dan pengharapan Menteri Besar Kedah telah menzahirkan suatu permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Permohonan ampun itu dibuat atas keterlanjuran kata-kata beliau yang diungkapkan sewaktu kempen pilihan raya 11 Julai 2023 yang telah menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris perasaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku Sultan Selangor.

“Prinsip mempertahankan Institusi Beraja menjadi asas bersama kerana ia merupakan lambang kedaulatan negeri ini.

“Justeru, tindakan meremehkan institusi beraja tidak sepatutnya berlaku biarpun di atas pentas politik.

“Kejadian yang telah berlaku perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

“Inilah iltizam yang ditunjukkan Menteri Besar Kedah yang kesal dengan keterlanjuran tersebut dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas kejadian tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Basith menyatakan Sultan Sharafuddin telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf kali ke-2 daripada Menteri Besar Kedah dan baginda telah menerima permohonan maaf daripada beliau atas perkara tersebut.

Tambah beliau lagi, perkara ini adalah berdasarkan siaran media halaman Facebook Selangor Royal Office bertarikh 26 September 2024, semalam.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) menyambut baik tindakan permohonan maaf YAB Menteri Besar Kedah ini.

“DPPNS juga yakin dengan kebijaksanaan dan sifat pemaaf DYMM Sultan Selangor, isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Semoga kejadian seperti ini tidak lagi berulang dan menjadi pedoman kepada semua pihak,” katanya.

Media pada Rabu lepas melaporkan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah memohon keampunan terhadap Sultan Selangor.

Permohonan ampun kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj itu di atas kenyataannya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -