Tiada Kerajaan Perpaduan Johor jika BN menang PRK Mahkota

Ahmad Fadhli Shaari (Foto ABDUL AZIZ YUNOS)
- Advertisement -

KLUANG: Kerajaan Perpaduan seperti yang wujud di peringkat Persekutuan tidak akan terbentuk di Negeri Johor sekiranya Umno-BN menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota esok.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor memerlukan perubahan struktur besar yang akan mengurangkan kuasa Umno-BN.

“Kalaulah calon BN masih lagi menang dalam PRK Mahkota ini, percayalah bahawa sampai PRU akan datang Kerajaan Perpaduan tidak akan ditubuhkan di Negeri Johor. Ini hakikat dan realiti.

- Advertisement -

“Kalau anda merupakan pengundi kepada PH; ahli-ahli DAP, Ahli-ahli-ahli PKR, ahli-ahli Amanah, kalau nak bagi isyarat kepada Barisan Nasional caranya ialah dalam pilihan raya kecil ini berikan undi anda kepada PERIKATAN NASIONAL,” katanya.

Menurut beliau, sehingga ke hari ini pemimpin-pemimpin Umno-BN masih belum menjawab persoalan itu yang dibangkitkan oleh Pengarah Utama PRK DUN Mahkota, Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali berkaitan perkara itu.

“Kalau mereka memberikan janji akan buat Kerajaan Perpaduan, ADUN DAP masuk kerajaan Negeri Johor; ADUN Amanah masuk kerajaan Johor; pembahagian perlu dibuat.

“Jawatan-jawatan di PBT; ahli-ahli Majlis; jawatan dalam kerajaan negeri perlu dilakukan dan ini akan merosakkan struktur yang ada. Itu tidak mampu dibuat oleh Umno Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program ceramah PERIKATAN NASIONAL bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Taman Sri Kluang, di sini, malam tadi.

Beliau turut mengingatkan pihak PH bahawa Johor bukan Kerajaan Perpaduan di mana Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH-DAP masih berstatus pembangkang atau di negeri itu dipanggil ‘pengimbang’.

“Dua tiga hari lepas Pengerusi Amanah Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Aminolhuda melontarkan cadangan supaya sudah tiba masanya kerajaan perpaduan ditubuhkan di negeri Johor.

“Sampai ke hari ini tidak ada respons daripada pemimpin Barisan Nasional. Percayalah tuan-tuan sekalian bahawa mereka bimbang untuk memberikan respons,” katanya.

Kerana itu katanya, penyokong-penyokong PH perlu keluar untuk mengundi PERIKATAN NASIONAL pada PRK ini tanpa rasa bimbang sebagai satu desakan kepada Umno-BN agar mereka akur untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“Kalau tak nak sangat duduk di rumah sudahlah. Tak nak keluar, tak payah keluarlah. Duduk di rumah. Tapi seboleh-bolehnya keluar, berikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Anda tidak akan rugi apa-apa. Di DUN Mahkota ini adalah satu tempat yang telah mempunyai segala-galanya. Segala-galanya sudah ada,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Tegasnya, apa yang harus diberi perhatian oleh penduduk-penduduk DUN Mahkota ialah isu-isu peringkat Nasional yang dilihat lebih penting dan memberi kesan kepada rakyat.

Antaranya, jelas beliau, adalah isu kenaikan harga diesel, isu kenaikkan harga barang-barang dan kegagalan kerajaan PH-BN dalam menguruskan ekonomi negara sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Malah, menurut beliau, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi ada mengeluarkan kenyataan bahawa jangan menghukum beliau kerana isu-isu di peringkat Nasional.

“Maknanya Menteri Besar Johor mengakui bahawa isu di peringkat Nasional terlampau banyak dan merupakan beban kepada kerajaan PH-BN yang ada pada hari ini.

“Beliau kata jangan hukum beliau kerana isu di peringkat nasional, sedangkan isu di peringkat nasional inilah yang membebankan rakyat,” katanya.

Turut berucap di dalam program itu ialah Pengarah Utama PRK DUN Mahkota, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali, Setiausaha Agung parti GERAKAN, Loh Kah Yong, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin (Che’gu Bard).

Selain itu, turut berucap ialah Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, ADN Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan ADUN Kok Lanas, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, PERIKATAN NASIONAL mempertaruhkan tokoh sukan yang juga bekas pemain bola sepak Mohamad Haizan Jaafar, 61, (Coach Haizan) sementara BN pula meletakkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 sebagai calon mereka dalam pertembungan satu lawan satu.

28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula telah berlangsung pada Selasa melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -