
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor melahirkan keyakinan pendidikan mampu merubah kehidupan seseorang.
“Saya yakin dan percaya, pendidikan mampu merubah kehidupan kita, pendidikan mampu mengeluarkan kita dari kemiskinan,” ujarnya menerusi laman Facebook susulan meraikan para pelajar yang mendapat tempat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
Tambahnya, pendidikan mampu menjadikan seseorang itu manusia yang bermanfaat kepada masyarakat sekitar.
“Kerana itu, saya gembira meraikan anak-anak yang akan ke menara gading, bakal menjadi mahasiswa, yang akan melaporkan diri ke institusi pengajian tinggi masing-masing,” katanya.
Beliau menambah, mereka semua akan menjadi pelapis kepimpinan untuk masa akan datang.
Menurutnya lagi, mereka bakal mengisi kelompongan dalam masyarakat.
Salamiah juga turut memberi pesanan kepada mereka supaya jangan meninggalkan solat, menjaga diri dan belajar dengan bersungguh-sungguh untuk membanggakan ibu dan ayah.
“Insya-Allah kita datang dengan harapan, kita pulang dengan kejayaan,” tambahnya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua yang akan ke menara gading dan melahirkan rasa bangga dengan pencapaian mereka.
Tambahnya lagi, walaupun datang dari pelbagai latar belakang keluarga dan cabaran dalam kehidupan tetapi mereka berjaya membuktikan dan mampu berjaya seperti orang lain.
“Selamat maju jaya semua. Insya-Allah kejayaan menanti kalian, see you di IPT,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/9/2024











