Angka mangsa banjir di Kedah cecah 6,000

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kini mencecah 6,066 orang.

Sehingga jam 5.57 pagi ini, Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatat jumlah mangsa banjir terkini di Kedah itu adalah daripada 1,942  keluarga yang telah dipindahkan dari tujuh daerah di negeri itu yang terjejas; dan kini ditempatkan di 36 PPS yang telah dibuka.

- Advertisement -

Tujuh daerah yang terjejas banjir di Kedah ialah Pokok Sena, Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu, Bandar Baharu, Kulim dan Kuala Muda.

Setakat ini, Kota Setar merekodkan jumlah mangsa banjir yang paling ramai dipindahkan, mencecah 2,242 orang  daripada 812 dan kini ditempatkan di 11 PPS yang di buka.

Ia menunjukkan peningkatan ketara  berbanding merekodkan 1, 692 mangsa daripada 515 keluarga dengan pembukaan sembilan PPS yang dicatat JKM sehingga jam 7.31 malam tadi.

Kubang Pasu pula  sehingga kini merekodkan 1,537 mangsa daripada 498 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, Pokok Sena seramai 925 mangsa daripada 285 ditempatkam di lima PPS, berbanding 482 mangsa daripada 125 keluarga di Pendang yang ditempatkan di empat PPS.

Bandar Baharu pula, satu PPS dibuka dan merekodkan 131 mangsa daripada 31 keluarga; manakala Kuala Muda dengan 184 mangsa daripada 61 keluarga dan Kulim mencatat 80 mangsa daripada 25 keluarga dengan masing-masing telah dibuka tiga PPS.

Terdahulu, kerajaan negeri Kedah melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan semalam (19 September) telah memaklumkan bahawa penyaluran BWI itu akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah.

Susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu juga, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR.

“Penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit,” katanya.  – HARAKAHDAILY 20/9/2024

- Advertisement -