
KLUANG: “Ketika tu saya berjanji, kalau saya jadi seseorang atau saya berjaya, saya akan bantu orang-orang yang susah.”
Calon PERIKATAN NASIONAL untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan rupa-rupanya bukan dilahirkan sebagai orang senang.
Kehidupan masa silamnya boleh dikatakan agak sukar dari segi ekonomi, dan sebelum menjadi beliau yang pada hari ini, Coach Haizan pernah bergelut dengan kesukaran dan mencari rezeki untuk meneruskan hidup.
“Dulu saya orang susah. Saya duduk dengan mak saya, saya memang susah.
“Saya buat kerja sendiri, cari rebung, (saya) jual.
“Cari sayur kangkung dekat sungai, (saya) jual.
“Jadi, saya tahu betapa susah nak cari duit,” kongsi yang juga merupakan mantan pemain bola sepak Piala FA Johor.
Namun beliau bernasib baik, kerana banyak dibantu oleh jiran-jiran dan orang ramai ketika berjuang untuk menimba ilmu di sekolah.
“Orang banyak menolong saya. Masa sekolah dulu orang belikan saya baju; orang belikan saya kasut sekolah. Jiran-jiran yang tolong saya.
“Jadi, masa tu saya berjanji kalau saya jadi seseorang atau saya berjaya, saya akan bantu orang-orang yang susah.
“Memang niat saya daripada dulu, memang itu niat saya,” katanya ketika berucap dalam ceramah kempen pilihan raya PERIKATAN NASIONAL di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Masjid Lama, di sini, malam tadi.
Tambah Coach Haizan, disebabkan pernah menjadi orang susah, justeru ketika terpilih sebagai Presiden Kelab Sukan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), beliau sangat mengutamakan isu kebajikan ahli-ahlinya.
Selain itu, beliau juga adalah Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa Rukun Tetangga yang melibatkan lebih 28 KRT di bawah seliaan beliau.
“Saya banyak buat program kebajikan. Contohnya kita pergi ziarah ke rumah orang yang tak berapa sihat; buat kerja tanam pokok, pokok sayur dan macam-macam untuk memajukan program KRT Komuniti,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang dan banyak melaksanakan program-program kebajikan dan projek infrastruktur bagi membantu masyarakat.
“Pengalaman-pengalaman yang ada dalam soal pentadbiran kerajaan dan kisah silam saya itu bakal menjadikan seorang yang prihatin terhadap nasib rakyat sekiranya terpilih (menang) PRK Mahkota kelak,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali; Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.
PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Tarikh 28 September 2024 telah ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.
Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September ini melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran. – HARAKAHDAILY 20/9/2024




















