
ALOR SETAR: Banjir di Kedah bertambah teruk dengan jumlah mangsa mencecah 4,426 yang telah dipindahkan dari tujuh daerah yang terjejas.
Merujuk kepada data di laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terkini di Kedah itu adalah daripada 1,306 keluarga yang telah direkodkan sehingga jam 7.31 malam ini, peningkatan berbanding 4,058 mangsa daripada 1,207 keluarga pada jam 4.38 petang tadi.
Tujuh daerah yang terjejas banjir di Kedah ialah Pokok Sena, Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu, Bandar Baharu, Kulim dan Kuala Muda.
Setakat ini, Kota Setar merekodkan 1, 692 mangsa daripada 515 keluarga dengan pembukaan sembilan PPS, berbanding Kubang Pasu yang merekodkan 1,089 mangsa daripada 331 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Sementara itu, Pokok Sena seramai 840 mangsa daripada 235 ditempatkam di lima PPS, berbanding 482 mangsa daripada 125 keluarga di Pendang yang ditempatkan di empat PPS.
Bandar Baharu pula, satu PPS dibuka dan merekodkan 107 mangsa daripada 24 keluarga; manakala Kuala Muda dengan 131 mangsa daripada 50 keluarga dan Kulim mencatat 86 mangsa daripada 26 keluarga dengan masing-masing telah dibuka tiga PPS.
Dalam pada itu, sembilan sungai di Kedah melepasi tahap bahaya, yang mana tujuh daripadanya menunjukkan trend menaik, manakala dua lagi masing-masing menurun serta tiada perubahan.
Sembilan sungai yang melepasi tahap bahaya daripada sungai daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Baling manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar dan Sungai Gurun di Kampung Perupok di Yan sudah melepasi tahap amaran.
Banjir juga dilaporkan berlaku di Sabah, Pulau Pinang, Sarawak, Perlis, Selangor, Perlis dan Kuala Lumpur dengan jumlah kesemua mangsa termasuk di Kedah yang telah dipindahkan ke 48 PPS kini (sehingga jam 7.31 malam ini) mencecah 5, 656 daripada 1,652 keluarga.
Terdahulu, kerajaan negeri Kedah melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kedah.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyaluran BWI itu akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah.
Susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu juga, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR.
“Penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024




















