
KANGAR: Kampung Belanga Pudak, Bintong, di sini antara kawasan yang terjejas apabila beberapa kediaman penduduk setempat dimasuki air akibat hujan lebat yang melanda negeri ini, semalam.
Sehubungan itu, usaha meringankan beban mereka telah dijalankan oleh pihak berkuasa setempat, termasuk menerusi bantuan segera yang dihulurkan.
ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail bersama pasukan Pusat Khidmat Bintong turun padang hari ini untuk menziarahi mangsa ribut di Taman Dato Jaafar dan Kampung Behor Empiang.
Lawatan tersebut bertujuan memberikan sokongan moral serta menilai kerosakan dialami oleh penduduk akibat ribut yang melanda kawasan tersebut.
Dalam kunjungan itu, Fakhrul Anwar turut menyampaikan bantuan awal bagi meringankan beban mangsa-mangsa terjejas, termasuk bantuan keperluan asas.
Beliau turut memastikan tindakan susulan akan diambil bagi membantu penduduk yang memerlukan sokongan segera.
Sementara itu, Fakhrul Anwar juga melawat penduduk di Kampung Tebing Tinggi yang terjejas akibat banjir.
Sumbangan pek makanan diserahkan kepada Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Tebing Tinggi melalui wakilnya, Azmi Hashim, untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.
“Semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang terjejas.
“Kami akan terus berusaha untuk membantu penduduk yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024












