
KLUANG: Gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) cuba memainkan isu kononnya berlaku perpecahan dalam kalangan parti komponen PERIKATAN NASIONAL (PN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang sedang berlangsung pada ketika ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ini adalah kerana perpaduan yang wujud dalam PN dibimbangi PH-BN mampu dan boleh memendekkan hayat politik mereka.
“Kerana mereka tahu, kalau kita bersatu, bermakna Pakatan Harapan, UmDAP, Umno dan DAP… nyawa, hayat mereka akan pendek.
“Kekuatan kita ialah kesatuan kita. Kemenangan kita ialah perpaduan kita. Dengan sebab itu mereka cuba untuk nak merobohkan supaya kita ini berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Bilik Gerakan PN bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, malam tadi.
Tambah Idris, ketidakhadiran ramai pemimpin PAS sewaktu hari penamaan calon PRK DUN Mahkota juga telah dimainkan mereka untuk membuktikan kononnya berlaku perpecahan dalam parti gabungan itu.
“Hari Sabtu lepas kami ada Muktamar (Tahunan Kali Ke-70), tahu tak? Tetapi mereka anggap macam pengundi-pengundi DUN Mahkota ni tak tahu. Seolah-olah dia anggap macam kami ini berpecah.
“Kami tak datang. Pimpinan tertinggi tak datang, dalam penamaan calon.
“Kita putuskan (Naib Presiden PAS) Dato’ Nik Amar Abdullah sahaja kena pergi. Pimpinan-pimpinan PAS Johor kena pergi. Jangan pergi Muktamar,” jelasnya.
Menurut beliau, muktamar itu penting bagi memenuhi dalam syarat Perlembagaan PAS, kerana itu ia perlu diberi keutamaan dan sukar untuk diubah tarikhnya kerana ia telah dirancang jauh lebih awal.
Namun katanya lagi, PAS dalam masa yang sama menghantar sebahagian daripada pimpinan-pimpinan tertinggi Negeri Johor dan juga wakil PAS Pusat untuk hadir sama bagi menunjukkan kesatuan PN.
Sebaliknya, ujar Idris lagi, perpecahan itu sebenarnya nampak jelas pada hubungan antara PH dan BN terutamanya di Negeri Johor ini kerana tidak ada kerjasama berkerajaan pada peringkat negeri walau pun ‘Kerajaan Perpaduan’ ada di peringkat Pusat.
“Tetapi apa yang berlakunya ‘pelik bin ajaib’, di peringkat Pusat disebut ‘kita Kerajaan Perpaduan’. Tiba-tiba di Johor yang berlakunya ‘kerajaan yang tak ketahuan’.
“Apa tidaknya, kalau betul-betul mereka ini Kerajaan Perpaduan, sudah tentulah menggabungkan antara dalam Kerajaan Pusat sana bersama-sama dengan Umno; bersama-sama dengan PKR; bersama-sama dengan Amanah ataupun PAN,” katanya.
Namun, hakikat yang berlaku, tambah beliau, Johor ditadbir oleh BN-Umno secara ‘one man show’ tanpa melibatkan PH dan komponennya iaitu PKR, DAP dan PAN.
Justeru, beliau menzahirkan keyakinan bahawa penduduk di DUN Mahkota akan memberikan undi mereka kepada calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan sebagai calon bagi PRK kali ini.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PN, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali yang juga Pengarah Utama PRK Mahkota; Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN Johor, Mohd Izharuddin Mohd Nasharuddin; dan Coach Haizan.
Antara pimpinan lain yang hadir ialah Pengerusi Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; serta tiga orang pimpinan Parti MUDA mewakili pemangku Presiden mereka, Amira Aisya Abdul Aziz yang juga ADUN Puteri Wangsa.
Tarikh 28 September 2024 telah ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.
Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran.
Sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, yang mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Secara demografi daripada keseluruhan 66,318 pengundi di situ, sebanyak 54 peratus daripadanya adalah Melayu manakala baki 46 peratus adalah bukan Melayu. – HARAKAHDAILY 19/9/2024




















