
KLUANG: Hubungan antara parti gabungan Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Amanah Negara (PAN) dengan BN yang memerintah Kerajaan Negeri Johor tegang kerana mereka tidak mendapat tempat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ketua Penerangan PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali berkata, ia adalah manifestasi kepada kegagalan kedua-dua parti gabungan itu untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Johor.
“Saya juga pelik di Negeri Johor ini, adakah ada Kerajaan Perpaduan? Apakah mereka benar-benar bersatu dan berpadu? Mengapa tidak?
“Sedangkan di kerajaan peringkat Persekutuan disebut Kerajaan Perpaduan. Apakah wujud Kerajaan Perpaduan di Negeri Johor ini? Mengapa tidak?” soalnya.
Beliau berkata demikian dalam program ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Pengerusi Perhubungan PN Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal; dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; dan calon PN bagi PRK Mahkota, Coach Haizan.
Sementara tambah Azmin, kerana itu beliau mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Besar Johor, sekiranya mereka dapat mengekalkan DUN Mahkota, apakah beliau akan membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri Johor selari dengan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya?
“Sebab itu kita dengar parti Amanah dah mengamuk.
“Kerana mereka mendukung kerajaan negeri Johor dah dua tahun, tetapi (jawatan) ketua kampung pun tak dapat; Ahli Majlis pun tak dapat; GLC pun tak dapat. Jadi, di mana Kerajaan Perpaduannya?
“Kerana itu saya nak beritahu pada sahabat-sahabat Amanah dan juga PKR, kamu mendukung sebuah parti yang tidak peduli kamu pun.
“Tidak ada perkongsian kuasa yang terbuka dan adil kepada rakan-rakan yang telah mendukung mereka,” tegasnya.
Azmin yang juga Pengarah Utama PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota berkata, sekiranya penyokong-penyokong PH memberikan satu lagi undi kepada Umno, ia hanya akan menjadikan parti itu lebih keras, sombong dan akhirnya membuatkan rakan-rakan yang mendukung mereka tidak dapat manfaat.
“Kalau rakan yang mendukung mereka pun tidak dapat manfaat, bagaimana rakyat di bawah nak dapat manfaat?
“Mudah sahaja, Amanah, PKR, mendukung mereka membentuk kerajaan tapi tidak dipedulikan, siapalah pengundi di Taman Ilham ini, siapalah pengundi di DUN Mahkota ini?
“Tetapi yang akan membela saudara saudari, sama ada mereka orang berparti atau tidak, dia ialah Coach Haizan yang akan membela dan mengangkat martabat rakyat di DUN Mahkota ini,” katanya.
PRK Mahkota menyaksikan sebanyak 66,318 pengundi berdaftar yang layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, yang mana 61,397 daripada mereka adalah pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
Secara demografi daripada keseluruhan 66,318 pengundi di situ, sebanyak 54 peratus daripadanya adalah Melayu, manakala baki 46 peratus adalah bukan Melayu.
Tarikh 28 September 2024 telah ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka membabitkan 109 saluran dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu sebanyak 1,126 orang.
Sementara itu, pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September ini melibatkan tiga pusat mengundi dengan 11 saluran. – HARAKAHDAILY 19/9/2024




















