
KUALA LUMPUR: “Serangan yang dihalakan kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) adalah disebabkan beliau masih hidup.”
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus, Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, sudah menjadi kebiasaan puak-puak tersebut menunggang nama mereka malah yang telah mengadap Ilahi untuk terus dipercayai pentaksub-pentaksub mereka.
“Yang terpaling ‘neutral’ pula tak ingin pun melihat kebaikan yang ada pada PAS. Yang mereka tahu, PAS buat salah apa hari ni. Parti lain buat salah tak apa sebab mereka tak bawa nama Islam.
“Kalau ikut pada nama, kritiklah juga Keadilan yang kini hilang adilnya, Amanah yang sudah tak kelihatan amanahnya, Umno yang ghuyub Melayunya dan lain-lain lagi.
“Nasihat saya, marilah kita bekerja bersama-sama dulu menguruskan negeri dan negara. Tanggungjawab kami bukan hanya politik, tetapi juga tarbiah dan dakwah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Ridhuan jika ada khilaf sesama peribadi, selesaikanlah sesama peribadi, dan janganlah dihukum semua ahli parti PAS sebegitu rupa.
“Isu takfiri, ekstrem semuanya sudah berkali-kali diberikan penjelasan. Setiap zaman berbeza cabarannya. Gunalah modal lain pula. Bosan modal sama melintas hari-hari di ‘wall Facebook dan ‘For You Page (FYP) di TikTok.
“Dah sekat dan tidak mengikuti, orang lain pula yang kongsi,” katanya.
Terdahulu, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menzahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan politik Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung salah guna kuasa untuk menyerang peribadi, melontarkan fitnah dan tuduhan melampau terhadap Tuan Guru Presiden dan PAS.
Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, segala dakwaan tersebut hanyalah bermotifkan politik dan tiada fakta yang dikemukakan dengan tepat dan terbukti bahawa dakwaan itu hanya untuk kepentingan diri. – HARAKAHDAILY 19/9/2024




















