Jangan politikkan bantuan banjir

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Jangan politikkan bantuan banjir tetapi sebaiknya mudahkan kelulusan bantuan daripada pihak  kerajaan pusat dan negeri.”

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata, beberapa lokasi dalam Parlimen Tasek Gelugor dilanda banjir teruk yang menyebabkan banyak keluarga yang terkesan.

- Advertisement -

“Saya mengikuti secara dekat keadaan cuaca tidak menentu seperti ribut dan banjir. Melalui Sekretariat Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor, saya dan rakan-rakan sedang bertungkus lumus membantu mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, beberapa agensi yang berkaitan khususnya Kementerian yang menguruskan isu sebegini telah dihubungi berhubung keperluan peruntukan tambahan bagi perbelanjaan luar jangka untuk perhatian kerajaan pusat.

Beliau juga mengharapkan supaya bantuan sebegitu segera dapat diluluskan dan diagihkan.

“Ini berikutan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang setakat semalam, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Seberang Perai bertambah daripada tujuh kepada 11 PPS susulan peningkatan mangsa banjir.

“Selain itu, saya telah meminta beberapa NGO turut memberi bantuan segera ke kawasan-kawasan terkesan bagi membantu dan mengagihkan keperluan asas mangsa-mangsa banjir terlibat.

“Ada mangsa perlu tempat tinggal sementara dan semuanya perlu bantuan pembersihan rumah pasca banjir. Saya ucapkan tahniah kepada semua agensi terbabit, semua pertubuhan, orang awam, malahan juga sukarelawan parti-parti politik, yang begitu gigih membantu mangsa-mangsa yang terlibat di Tasek Gelugor.

“Budaya kerjasama tanpa mengira latar belakang parti, agama atau bangsa adalah satu budaya mulia yang perlu diteruskan, bukan saja di Tasek Gelugor tapi di seluruh negara. 

“Dalam menghadapi bencana, kita ketepikan perbezaan, dan tumpu kepada usaha membantu. Hari ini, jelas kelihatan betapa agensi-agensi gigih membantu mangsa, dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kami di Pusat Khidmat Parlimen Tasek Gelugor.

“Malangnya, ada segelintir pihak tertentu cuba mempolitikkan keadaan dengan mengambil kesempatan dan membuat dakwaan palsu, seolah-olah mereka saja yang melakukan segala-galanya.

“Sikap menidakkan sumbangan orang lain adalah akhlak buruk yang melarikan perhatian daripada objektif sebenar, iaitu membantu mangsa yang terlibat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful menyeru supaya dihentikan segala amalan politik dalam menguruskan isu bencana sebegini.

Kata beliau lagi, ini kerana membantu mangsa bencana itu lebih penting daripada melakukan perkara sedemikian.

“Saya menyeru agar semua pihak hentikan budaya ‘ambil kesempatan politik atas bencana’ sebaliknya beri tumpuan kepada membantu mangsa, tanpa mengira parti.

“Dengan itu, saya mohon kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri meneruskan misi membantu mangsa banjir di Tasek Gelugor yang sekarang sedang berjalan dengan baik. 

“Usaha yang sedang berjalan mesti kita sama-sama teruskan, dan saya harap kerajaan pusat dan kerajaan negeri mempermudahkan kelulusan peruntukan kewangan serta peralatan bantuan tambahan yang diperlukan demi kebaikan warga Tasek Gelugor,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/9/2024

- Advertisement -