
ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang keluarga mereka terlibat banjir, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelasnya, Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) itu diberi kepada keluarga yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan akan diselaraskan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah terlibat.
“Selain itu, mereka juga akan menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebanyak RM1,000 yang akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS,” kata beliau dalam kenyataannya, hari ini.
Dalam pada itu Sanusi turut menasihati semua penduduk yang terlibat dengan banjir, mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS.
Kegagalan berbuat demikian, ujarnya akan menyebabkan mangsa berkenaan tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.
Sehingga jam 2:00 petang tadi, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu lapan di Kota Setar, Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim dan Kuala Muda masing-masing tiga.
Jumlah terlibat adalah seramai 3,835 mangsa dari 137 keluarga keseluruhannya di 29 PPS berkenaan.
Tegas ADUN Jeneri itu lagi, anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan, manakala PKOB negeri dan daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa.
“Sukalah saya menasihati ibu bapa terutamanya, agar mengawasi anak masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Ini adalah ujian daripada Allah SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih memudaratkan dan dipermudahkan urusan bagi kita semua,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 19/9/2024











