
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani tidak seharusnya meletakkan pelbagai syarat dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, berkata peruntukan kepada ahli Parlimen adalah hak rakyat dan merupakan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Namun seperti janji lainnya, hak tersebut dinafikan oleh kerajaan sehingga Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sendiri telah mengeluarkan titah pada Mac 2024 agar peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua.
“Bagi menutup kelemahan tersebut, maka pelbagai syarat diberikan oleh kerajaan sebagai kiasan untuk tidak melaksanakan janji serta tanggungjawab mereka.
“Kemudian dikerah pengikut-pengikut Madani untuk menunjukkan seolah-olah pihak pembangkang yang bermasalah kerana menolak syarat yang diletakkan. Naratif jahat!” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Zurk berkata, pemimpin dan rakyat yang waras perlu sedar bahawa kandungan MoU yang berat sebelah, tidak berperlembagaan, mengekang peranan ahli Parlimen dan bersifat memerangkap melalui terma-terma yang tidak jelas itu sememangnya wajar ditolak oleh PN serta semua.
“Bagaimana mungkin pihak pembangkang dapat memainkan peranan untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan yang penuh dengan kelemahan ini jika kaki dan tangan mereka diikat. Kejam!
“Tujuh syarat yang diletakkan oleh Puteri Gunung Ledang terasa lebih munasabah berbanding syarat yang dinyatakan dalam MoU tersebut,” katanya lagi.
Justeru, PN akan terus berjuang menjaga kelangsungan identiti nasional serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan jika reformasi yang dimaksudkan kerajaan adalah dengan mengancam asas dan semangat demokrasi berparlimen dalam negara.
“Kita yakin permainan politik kotor begini pasti akan memakan diri Kerajaan Madani kerana rakyat adalah mangsa utama dalam isu peruntukan parlimen yang tidak berkesudahan,” tegas Zurk.
Terdahulu, draf MoU yang dikemukakan kerajaan kepada PN lebih bersifat untuk memecah-belahkan kesepakatan perpaduan.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika itu hasrat kerajaan maka ia jauh tersasar memandangkan semua ahli-ahli Parlimen PN bersepakat menolak draf MoU terbabit. – HARAKAHDAILY 19/9/2024




















