Dakwaan Saifuddin hanya bermotifkan politik – Nadzir Helmi

Khairul Nadzir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menzahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan politik Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung salah guna kuasa untuk menyerang peribadi, melontarkan fitnah dan tuduhan melampau terhadap Tuan Guru Presiden dan PAS.

Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, segala dakwaan tersebut hanyalah bermotifkan politik dan tiada fakta yang dikemukakan dengan tepat. 

- Advertisement -

“Cukup menjijikkan apabila Saifuddin sanggup menunggang posisi Menteri demi melontarkan ketidakpuasan hati terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH).

“Tuan Guru Haji Hadi yang selama ini menghulur tangan ketika beliau dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kesusahan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa fakta yang perlu diketahui umum dalam kenyataan tersebut.

“Pertama, Tuan Guru Haji Hadi tidak menyatakan sebarang nama ketika berbicara tentang munafiq dalam muktamar baru-baru ini. 

“Sayangnya, Saifuddin terlebih menggelupur kerana barangkali ciri-ciri yang dinyatakan dalam sabda Baginda SAW ada pada dirinya sendiri.

“Kedua, Saifuddin selaku Menteri tidak seharusnya bermudah-mudah melabel parti pembangkang dengan sebarang gelaran, apatah lagi gelaran bagi golongan pelampau dan ekstremisme seperti Khawarij. 

“Inilah bukti ternyata Menteri Madanilah ejen pemecah belah keharmonian dan perpaduan selama ini,” jelasnya.

Ketiga, tambah Nadzir, PAS konsisten menentang judi dan arak, serta melawan segala salah laku menyalahi integriti. 

“Buktinya dapat dilihat di empat negeri yang ditadbir kini. 

“Hakikatnya, dakwaan Saifuddin itu adalah tepat jika diacukan kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), partinya sendiri,” tegasnya.

Oleh demikian, beliau menyatakan dalam perkara ini, terbukti bahawa dakwaan Saifuddin itu hanya bermotifkan politik dan untuk kepentingan diri.

“Tindakannya ini membuktikan bahawa Saifuddin tidak layak untuk berada di posisi Menteri kerana gagal menjiwai amanah dan tugasan dengan seadilnya.

“Justeru, Pemuda PAS menggesa Saifuddin Nasution untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri KDN kerana kegagalannya ini akan merugikan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -