
KOTA BHARU: Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 yang ditubuhkan kerajaan negeri bakal mengadakan sidang pertamanya dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud berkata inisiatif itu bagi mengkaji semula 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah 2019 yang dibatalkan awal tahun ini.
Beliau berkata, jawatankuasa terbabit dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan serta dianggotai oleh ahli akademik, pakar perundangan dan sebagainya.
“Kita juga menganjurkan sebuah konvensyen, selepas ini jawatankuasa dipengerusi oleh Dato’ Timbalan Menteri Besar akan mengadakan sidang pertama tidak lama lagi.
“Semua ahli jawatankuasa sudah dilantik dalam 15 hingga 16 orang yang menjadi pakar dalam bidang tertentu untuk menilai dan melihat situasi semasa perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Darul Niswah atau Pusat Pembangunan Wanita Kelantan DUN Melor di Wisma Tok Wali di sini semalam.
Pada Mac lalu Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang meluluskan usul untuk menggubal semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal.
Wan Rohimi yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia itu pernah membawa usul tersebut bagi meneruskan pemerkasaan sistem perundangan Islam.
Ia merupakan keputusan panel sembilan Hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat yang membuat keputusan tersebut selepas dikemukakan Nik Elin Zurina.
Malah perkara itu turut dibincangkan pada Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah Mei lalu sebelum persoalan diperhalusi oleh sebuah jawatankuasa tersebut. – HARAKAHDAILY 18/9/2024




















