Kelantan jadi sebutan kerana keharmonian kaum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sikap terbuka kerajaan Kelantan terhadap golongan non-Muslim menjadikan negeri ini sebutan khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

Presiden Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Dato’ Oie Poh Choon, berkata sewaktu beliau ke Kuala Lumpur, rakan-rakan di sana ada menyebut tentang keterbukaan kerajaan dan kemesraan rakyatnya yang berbilang kaum.

- Advertisement -

“Saya memang mengakui perkara ini pada mereka bila mereka membuka tajuk berkenaan untuk dibincangkan bersama-sama.

“Saya katakan kerajaan Kelantan tidak pernah menyekat kebudayaan kita, amalan beragama kita selagi ianya tidak bercanggah dengan nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Tanglung Kelantan 2024 di Dewan Perniagaan Cina malam tadi.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ADUN Bunut Payong, Shaari Mamat, Pengerusi Pusat Intergrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA), Lim Guang Seng.

Pada masa yang sama, menurutnya keterbukaan kerajaan negeri bersama golongan minoriti lebih 30 tahun lalu cukup terserlah.

Jelasnya, perbincangan sering diadakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya memerlukan garis panduan tertentu, begitu juga dengan pihak lain di bawah kerajaan negeri.

Tambahnya, perkara itu menjadikan keharmonian sentiasa wujud, kerana itu maklumat bersih dan harmoni yang diperolehi oleh masyarakat bukan Islam di luar Kelantan.

Menyentuh tentang program Pesta Tanglung Kelantan 2024 yang diadakan itu, beliau berkata  bukan hanya untuk eratkan perpaduan kaum di negeri ini, sebaliknya menggalakkan anak perantau di kalangan masyarakat Cina pulang ziarahi ibu bapa masing-masing.

“Ambillah peluang ini untuk menemui ibu bapa serta saudara mara di kampung,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -