
KOTA BHARU: Kerajaan negeri merancang untuk memindahkan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ke kawasan baharu tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Noor, berkata tindakan itu dilakukan kerana zon bebas cukai yang sedang beroperasi ketika ini berada berhampiran kediaman penduduk kampung.
“Memang kita sedang merancang untuk pindahkan KBC Rantau Panjang ke satu tempat yang lebih sesuai.
“Pada masa yang sama kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk bangunkan kampung tersebut pada masa akan datang,” katanya.
Kamaruddin bagaimanapun memaklumkan ia masih lagi di peringkat perancangan dan kajian.
Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Pesta Tanglung Kelantan 2024 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di sini malam tadi.
Lebih 600 orang masyarakat berkenaan hadir pada program berkenaan yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.
Menurut Kamarudin, pihaknya sedang membuat tinjauan lokasi yang bersesuaian untuk memindahkan zon bebas cukai tersebut.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor (Tumpat) mempunyai banyak pilihan barangan dan ia menarik minat pelancongan bukan sahaja tempatan tetapi dari Thailand.
“Hasil pemerhatian saya, jualan di Pengkalan Kubor lebih tinggi berbanding di Rantau Panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024











