Isu GISBH: Kelantan tunggu laporan polis sebelum bertindak

Mohd Asri Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan kini sedang menunggu laporan polis sebelum mengambil tindakan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Daud berkata, pihak berkuasa agamanya ketika ini sentiasa memantau perkembangan pengurusan dan operasi GISBH.

- Advertisement -

Beliau berkata, pihak berkuasa agama negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga bersedia melaksanakan arahan pihak berkuasa.

“Kita sudah minta pihak berkuasa agama kita sendiri memantau sehingga mendapat arahan pihak berkuasa polis sebab kita tidak boleh nak pergi (bertindak) tanpa ada sebarang aduan

“Sehingga kini tidak ada apa-apa lagi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna Membangun Bersama Islam (MBI) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu menjelaskan, pihaknya juga mengenalpasti kira-kira 15 premis GISBH yang mencakupi pelbagai sektor perniagaan termasuk pendidikan.

GISBH katanya turut menubuhkan sebuah institusi pendidikan di Gong Kulim Pasir Puteh dekat sini selain terbabit tadika, rumah amal, restoran dan hotel kini dalam pemantauannya.

Beliau berkata, pemantauan terbabit dibuat selepas isu membabitkan agensi dikaitkan al Arqam itu mengeksploitasi kanan-kanak di salah sebuah rumah kebajikan dikelolakan syarikat itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan memanipulasi kanak-kanak.

Dalam Op Global dijalankan pihaknya, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal, 18 di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa yang terdiri daripada 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan itu disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat tersebut selain pengabaian dan penganiayaan. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

- Advertisement -