
TEMERLOH: Harakah kini fokus kepada jualan produk HD Premium, Harakah Cetak Depan Rumah dan Harakah Cetak edisi khas sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70.
Ketua Jabatan Pemasaran Harakah, Zainab Awatif Omar berkata, penjualan Harakah sempena muktamar mula beroperasi sejak Rabu (11 September) lepas ketika sidang Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS dan Konvensyen As-Sabiqun 4.0 sedang berlangsung.
“Selain itu, kita juga menjual produk sampingan antaranya ialah stok buku yang masih ada di Harakah, pen dan juga buku-buku nota,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zainab berkata, penjualan Harakah turut mendapat sokongan daripada para perwakilan untuk mengedarkan Harakah di setiap persidangan perwakilan.
“Kita dah bawa 1,500 naskhah Harakah di muktamar kali ini dan Alhamdulillah sekarang hanya tinggal baki tidak sampai 100 sahaja lagi. Selain itu, sasaran kita juga kalau boleh nak habiskan juga Harakah cetak ini.

“Seterusnya, Harakah Cetak Depan Rumah dan HD Premium pula kita menyasarkan untuk dapatkan lebih banyak jualan, cuma ada kekangan dari segi masalah gangguan rangkaian di sini.
“Walaupun begitu pengunjung tetap berminat untuk berdaftar dengan Harakah dan kami telah memberikan mereka pautan untuk berdaftar sendiri,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar penjualan Harakah di booth muktamar kali ini akan membuatkan lebih ramai rakyat masih mengetahui akan kewujudan dan mengenali tentang akhbar ini.
Tambah beliau, kini keluaran Harakah hanya seminggu sekali dan boleh didapati dengan mudah melalui digital mahupun fizikal.

“Satu lagi kita nak menguar-uarkan bahawa Harakah telah mengeluarkan aplikasi di Play Store untuk pengguna Android dan insya-Allah kita akan melancarkan aplikasi tersebut di iOS untuk pengguna iPhone.
“Ini akan lebih memudahkan para pengguna untuk menerima notifikasi setiap kali berita baharu dimuatnaik di dalam portal tersebut,” katanya.
Tambah beliau, booth Harakah pada muktamar kali ini lebih istimewa kerana pihaknya telah membuat persediaan yang lebih teliti dari segi banner bertujuan untuk memperkenalkan produk dan memaparkan muka surat hadapan Harakah versi yang baharu dan lebih terkini.
“Selain itu, ia turut memaparkan sejarah Harakah yang boleh dibaca secara jelas dan mudah kepada pengunjung dan penyokong yang datang.

“Jadi, kita pasang banner yang lebih besar agar kelihatan meriah di booth Harakah yang bernombor 25 ini, insya-Allah,” katanya.
Orang ramai boleh melayari pautan Harakahdaily di https://play.google.com/store/apps/details?id=net.harakahdaily.apps untuk memuat turun aplikasi ini.
Untuk dapatkan akhbar Harakah atau sebarang pertanyaan, sila hubungi atau WhatsApp Pemasaran di talian 010-309 3750, dan e-mel di [email protected].
Selain itu, orang ramai juga turut dialu-alukan untuk menyumbang apa jua artikel tidak kira apa jua topik melalui e-mel di [email protected]. – HARAKAHDAILY 15/9/2024




















