Kompleks pentadbiran: Ahli PAS diseru sertai Infaq Istiqamah

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Pusat bakal memiliki kompleks pentadbiran yang lengkap dengan pelbagai prasarana seperti pusat konvensyen, pendidikan dan lain-lain.

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, kompleks tersebut akan dibina di tanah seluas lima ekar, berharga RM5 juta, berhampiran Lembah Klang.

“Setakat ini PAS telah melunaskan bayaran pembelian sebanyak RM500,000 dan kebenaran membangunkan tanah itu telah diperolehi.

- Advertisement -

“Justeru, PAS mengharapkan kerjasama dari semua pemimpin dan ahli PAS seluruh Malaysia melalui kupon infaq, setiap ahli RM10,” jelasnya semasa menggulung perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau hari ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga telah mengedar sebanyak satu juta kupon ke seluruh negeri agar pulangan infaq tersebut membantu merealisasikan kompleks tersebut.

Dato’ Iskandar Abdul Samat

Iskandar juga memaklumkan, Melaka berada tangga teratas penjualan kupon dengan jualan 47.2 peratus, diikuti Terengganu, 46.2 peratus, sementara negeri-negeri lain antara 20 hingga 22 peratus.

“Saya berharap penjualan kupon infaq ini dapat diaktifkan dengan lebih drastik untuk membantu menjayakan hasrat ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan semua ahli PAS bersama-sama menjayakan program Infaq Istiqamah yang dilaksanakan sebelum ini.

Peringkat permulaan, ujarnya PAS menyasarkan 10 peratus daripada ahli-ahlinya mendaftar sebagai ahli Infaq Istiqamah namun setakat ini sasaran tersebut belum tercapai.

“Kita mengharapkan semua PAS negeri lebih gigih lagi mempastikan ahli-ahlinya mendaftar sebagai ahli Infaq Istiqamah kerana peratus potongan yang diberikan kepada PAS negeri dan kawasan juga tinggi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, PAS Pusat terdahulu telah mengadakan pertandingan ahli Infaq Istiqamah yang dilaksanakan selama 40 hari.

Hasil dari pertandingan itu ujar beliau, PAS Kawasan Kapar telah berjaya mendaftar keahlian seramai 92 orang, diikut Kuala Nerus (48) dan Kubang Kerian (37).

Dalam pada itu, PAS Selangor muncul sebagai negeri paling ramai keahlian Infaq Istiqamah iaitu 2,573 orang. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -