DAP manipulasi demografi untuk kuasai politik

- Advertisement -

TEMERLOH: DAP beragenda untuk mendapatkan penguasaan politik secara manipulasi demografi dan polarisasi kependudukan, demikian dedah Perwakilan PAS Kuala Terengganu, Ustaz Muhammad Nasir Abdul Razak.

- Advertisement -

Menurut beliau, agenda tersembunyi tersebut cuba dilaksanakan menerusi Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang digubal melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut beliau, tindakan licik ini juga cuba dilakukan DAP dengan membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya di mana polanya nanti menjadikan pengundian yang berasaskan perkauman.

“Seperti sejarah di Singapura di mana PAP telah melenyapkan pegangan politik umat Melayu di sana dengan menjadikan majoriti bertukar minoriti serta meminggirkan orang Melayu di tanah asalnya.

“Ini dilakukan pemerintahan PAP melalui Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB),” katanya pada Usul Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Tambah Nasir, Malaysia sudah 67 tahun Merdeka tetapi masih ramai kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini tiada tanah sekurang-kurangnya untuk kediaman.

Malah ujarnya, ada juga masih berpindah randah tanpa pemilikan seperti nomad atau gelandangan, sedangkan hak orang Melayu dan Bumiputera bagi pemilikan tanah ini adalah menjadi lambang kekuatan dan keutuhan sesebuah bangsa.

“Muslihat strategik sistematik akta ini untuk digubah adalah bagi mengusir atau menjadikan kedudukan kaum asal yakni orang Melayu menjadi minoriti di bandar-bandar.

“(Sedangkan bandar) yang merupakan pusat pentadbiran pembangunan dan kewangan bagi pemacu aktiviti masyarakat dan negara sekali gus menghilangkan dan memiskinkannya,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyentuh perkara yang dibimbangi oleh rakyat Malaysia iaitu laporan media dan agensi pihak berkuasa mengenai kemasukan dan kebanjiran warga asing.

Di mana mereka itu menurut laporan, kemudiannya hilang dan tidak keluar dari negara ini, selain ketika sama ditawarkan pendudukan hartanah kepada warga asing.

“PAS Kuala Terengganu menyeru kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ahli PAS supaya menggerakkan sedaya upaya bagi memastikan perundangan ini ditolak.

“Agenda penjajahan baru menerusi peruntukan yang menghakis sependudukan yang bakal terkandung dalam URA atau PSB ini mesti dipastikan tidak diluluskan di dalam Parlimen nanti,” katanya.

Oleh demikian juga, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dan segala Kanun, Akta dan Enakmen Tanah Negara.

Iaitu mestilah bagi menjamin pemilikan semua kaum khususnya kaum melayu dan tanah rizab melayu selari dengan wasiat Raja-Raja Melayu. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -