
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) membuat ketetapan sebulat suara menolak cadangan memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya telah menerima dua set draf cadangan MoU itu, iaitu di antara Kerajaan Malaysia dan PN serta di antara Kerajaan Malaysia dengan kesemua Ahli Parlimen PN.
“Kami membuat ketetapan sebulat suara menolak MoU tersebut atas empat sebab fundamental. (Pertama) Bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.
Kedua, menurutnya adalah bertentangan nilai budaya, moral dan agama, di mana draf MoU tersebut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.
Tambahnya, ketiga, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa.
“Draf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jels dan keadaan ini boleh membukaruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ‘ex-parte’,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Larut berkata, sebab keempat MoU itu ditolak adalah kerana ianya mengongkong kebebasan.
“Draf MoU ini turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen, sedangkan setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Sehubungan itu, Perikatan Nasional mahu memperingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan, yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











