
TEMERLOH: Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dijangka dibentangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Sidang Parlimen pada Oktober hingga Disember nanti telah menerima bantahan rasmi PAS.
Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 telah sebulat suara menolak akta yang diyakini akan menyebabkan polarisasi kaum makin melebar sedangkan pemimpin sering bercakap mengenai membina perpaduan dan interaksi antara kaum.
Perwakilan PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, paling dibimbangi adalah risiko hilang atau berkurangnya hak-hak Melayu dan Bumiptera lain dalam soal pemilikan dan peganggan hartanah di bandar-bandar.
Beliau menyokong dan membahas usul dikemukakan PAS Kawasan Terengganu menolak akta tersebut ketika mengambil bahagian pada sesi tersebut dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
“Kita tidak mahu hanya kaum tertentu sahaja menguasai kehidupan dan perekonomian di bandar sedangkan orang-orang Melayu dan Bumiputera lainnya tertinggal dalam suasana serba kekurangan di desa-desa pendalaman dan di luar bandar.
“Atau (Melayu dan Bumiputera) terpinggir di dalam pembangunan pesat bandar itu sendiri,” ujar Ahli Parlimen Tangga Batu itu dengan turut merujuk kajian Rohayati Hussein dan Dr Rusnadewi Abdul Rahman dari UiTM Perlis.
Bentangnya, kajian bertajuk ‘Dilema Pembangunan Tanah Rizab Melayu’ adalah berkisar isu yang menjadi lambang kedaulatan dan ketuanan bangsa Melayu di tanah air tercinta ini di mana anya dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perinci beliau Perkara 89 Fasal (6) Perlembagaan jelas menyatakan objektif Enakmen Tanah Rizab Melayu diwujudkan bertujuan menyekat tanah itu daripada dilupuskan dengan apa cara sekalipun kepada orang bukan-Melayu.
Tanah Rizab Melayu susut
“Menyekat tanah pegangan Melayu atau Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa untuk urusniaga persendirian di antara Melayu dan bukan-Melayu. Tanah Rizab Melayu diantaranya adalah tanah Kerajaan; Tanah Hutan Simpan; Tanah Rizab Awam dan Tanah Milik.
“Yang kebanyakan kita tidak mengetahui tentangnya mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan,” jelasnya.
Tegas beliau, tanah adalah lambang kedaulatan, kekuasaan dan pemerintahan di mana tanpa tanah orang Melayu-Islam akan hilang kuasa seperti mana yang berlaku kepada rakyat penduduk Palestin apabila mereka menjual tanah-tanah milik mereka kepada pendatang Yahudi.
Peringat beliau, Tanah Rizab Melayu juga disebut di dalam wasiat kedua oleh Raja-Raja Melayu ketika mencapai kemerdekaan yang dibacanya di hadapan hampir hampir 3,000 perwakilan daripada lebih 200 PAS Kawasan seluruh negara.
“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain,” ujarnya membaca petikan itu.
Kini Tanah Rizab Melayu ujarnya, hanya berbaki sekitar 32 peratus sahaja di mana tanah-tanah ini telah hilang disebabkan oleh pengambilan oleh Pihak Berkuasa Negeri; tukar status; dan kuasa Pihak Berkuasa Negeri.
Selain kesali beliau, turut terancam di sebabkan sikap ingin mengaut keuntungan cepat dengan menjual Tanah Rizab Melayu kepada bukan-Melayu yang sangat merugikan atau dalam istilah lain disebut ‘Ali Baba’.
URA akan jadi luka Melayu?
“Kita tidak mahu Akta Pembangunan Semula Bandar ini akan menambah lagi luka di hati yang menyebabkan kita kehilangan kedaulatan dan mengigit jari menjadi pemerhati kepada pembangunan.
“Menolak Akta Pembangunan Semula Bandar ini bukan bererti kita menolak pembangunan dan mahu orang-orang Melayu dan Bumiputera lainnya mundur, tetapi kita mahu setiap pembangunan itu mestilah memelihara hak dan menjamin Hak-hak orang Melayu dan Bumiputera lainnya.
“Seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Beberapa perkara perlu diberikan perhatian serius antaranya, tujuan anah diambil (pasti) melibatkan akta tanah, (tetapi perlu) pengekalan Tanah Rizab Melayu (diadakan),” ujarnya.
Bakri turut menegaskan perlunya kajian impak sosial (SIA) untuk memastikan kepentingan pemilikan diambil kira, selain dasar pemilikan hartanah Bumiputera dipelihara, serta melaksanakan pengurusan pertikaian dengan baik dan saksama tanpa mengurangi hak-hak pemilikan.
Beliau turut merujuk hak dijamin dalam Perlembagaan, termasuk di peringkat antarabangsa sepertimana dalam Deklarasi Dublin Mengenai Akses Tanah Yang Adil dan sama dengan menggariskan asas berkaitan.
Dalam perbahasan itu, beliau memaklumkan terdapat sebanyak 534 tapak dan bangunan di Semenanjung Malaysia yang berada di dalam situasi usang dan berpotensi untuk dibangunkan semula.
“Dari jumlah ini 139 tapak yang berpotensi untuk dibangunkan semula dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM355.3 billion,” dedah beliau sekali gus menggesa KPKT menjamin hak Melayu dan Bumiputera.
Fokus sepatutnya oleh KPKT
KPKT gesanya, perlu memberikan tuampuan kepada jumlah rumah-rumah yang tidak dapat dijual khususnya kalangan Bumiputera di mana laporan dari Persatuan Pemaju perumahan (REDHA) telah dipetiknya.
Daripada laporan itu jelas Bakri, terdapat 33 peratus lot Bumiputera tidak terjual walaupun telah siap selama 3 tahun, tetapi 47 peratus darinya adalah rumah berharga hingga RM700,000, sedang hanya 27 peratus yang nilainya hingga RM500,000.
Turut dikemukanya dari laporan itu adalah 31 peratus dari pemohon pinjaman ditolak, di mana 69 peratus dari responden berdepan cabaran harga yang semakin meningkat disebabkan kenaikan harga bahan binaan.
“Kerajaan sepatutnya memberikan penumpuan bagaimana rumah-rumah yang dibina untuk Bumiputera ini dapat dikekalkan pemilikannya oleh Bumiputera dan tidak jatuh ke tangan kaum lain yang akhirnya menyebabkan polarisasi kaum semakin melebar.
“Dan penguasaan aset atau hartanah yang tertumpu pada kaum tertentu sahaja. Seperti kata pepatah Melayu, ‘Kalau tidak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah’ dan ‘Menang sorak kampung tergadai’,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











