‘Janganlah jadi pembangkang kepada kerajaan kita sendiri’

Dato' Dr. Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

TEMERLOH: Pengerusi As-Sabiqun, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed menasihati semua supaya mengukuhkan perpaduan dalam parti dan jangan bercakar-cakaran sama sendiri.

Beliau meminta semua mengambil iktibar daripada sejarah lampau kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol dan lain-lain.

“Di mana antara faktor kejatuhan mereka ialah masalah dalaman selain daripada masalah luaran.

“Masa kita tidak ada kerajaan belum menang, alhamdulillah kita bersatu dengan kuat sekali. Tetapi bila kita ada kerajaan mulalah kita menerima berbagai-bagai ujian dan cabaran.

- Advertisement -

“Oleh itu saya nasihatkan kalau ada masalah dalaman dalam parti kita selesaikanlah secara dalaman. Mengadulah kepada jawatankuasa tatatertib kepada AJK PAS Pusat ataupun kepada Majlis Syura Ulamak.

“Dan janganlah sekali-kali kita mula menjadi pembangkang kepada kerajaan kita sendiri,” kata beliau.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang berhasrat untuk berkahwin merentasi kaum.

Beliau mengingatkan kepada DPPM supaya tidak semuanya perlu berkahwin dengan kaum lain dan meninggalkan puteri-puteri dan muslimat Melayu yang lemah lembut dan jelita-jelita belaka.

“Kerana kalau semua nak kahwin dengan orang lain kaum lain, saya bimbang takut-takut nanti perwakilan para muslimat dan Ameerah terdiri daripada nyonya nyonya dan lain-lain.

“Tapi Muslimat dan Ameerah jangan bimbang kerana biasanya orang laki-laki, kalau nak kahwin dia senyap-senyap. Tahu-tahu jadi saja.

“Tapi kalau orang cakap nak kahwin, nak kahwin, takkan kahwin dia. Lebih-lebih lagi kami Sidang As-Sabiqun yang umurnya 60 tahun ke atas. Lutut-lutut dah longgar. Matanya dah kabur. Giginya pun palsu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Menurutnya, As-Sabiqun akan terus kekal setia dengan pasangan masing-masing. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -