
TEMERLOH: PAS menyokong penuh keputusan Perikatan Nasional (PN) yang menegaskan penolakan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mengenai perkara tersebut.
“Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Seri Hamzah pada hari ini berhubung sikap PN yang dengan rasminya menolak draf cadangan MoU daripada kerajaan.
“(Iaitu) peruntukan kepada Ahli Parlimen PN iaitu antara kerajaan Malaysia dan parti PN serta di antara Kerajaan Malaysia dengan kesemua Ahli Parlimen PN,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Menurut beliau, penolakan ini merupakan langkah yang tepat kerana mengandungi terma-terma perjanjian yang sangat bahaya kepada kedudukan Perlembagaan Persekutuan di mana telah menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera.
“Di dalam memorandum tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa Ahli-ahli Parlimen PN hendaklah memperakui bahawa hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
“Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam dan hak-hak Bumiputera di dalam memorandum tersebut menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman yang salah.
“Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan mengatasi agama-agama yang lain? Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak Bumiputera?
“Maka apakah maksud dari terma perjanjian yang ‘memaksa’ PN memperakui hak-hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa?Tidakkah cukup dengan hanya meminta semua pihak menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen yang dipersetujui bersama?
“Atau Pakatan Harapan (PH) sedang membawa Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam bentuk baru?” ujarnya.
Tegas Ahmad Fadhli, perkara tersebut belum lagi ditambahkan dengan ‘paksaan’ kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk tidak membuat ‘bangkangan yang sia-sia’ di dalam Parlimen.
“Siapakah yang akan membuat definisi ‘sia-sia’ itu? Jika tidak boleh membuat bangkangan, maka apa lagi tugas seorang Ahli Parlimen? Untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada kerajaan?
“Sekali-kali tidak, kami tidak akan tunduk dengan kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, dari hidup bercermin bangkai.
“Maka dengan ini, kenyataan Ketua Pembangkang menolak memorandum persefahaman itu adalah disokong,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











