Nak tutup judi, undilah PAS! – Andansura Rabu

- Advertisement -

TEMERLOH: Rakyat Malaysia atau mana-mana individu termasuk khususnya di negeri Pahang yang ingin semua premis judi ditutup sepenuhnya diseru supaya mengundi PAS sebagai pilihan terbaik.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andansura Rabu berkata, negeri-negeri yang ditadbir PAS iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah berjaya melakukan perkara sedemikian.

“Ini kerana kita ingin menunjukkan bahawa Islam sebagai solusi kepada setiap krisis yang berlaku dalam negara ini. Lagipun, amalan judi merupakan sesuatu yang tidak pernah dihalalkan oleh mana-mana agama sekalipun,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Beserah menyatakan demikian ketika Sesi Sidang Media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini pada hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Hasanuddin Salim dan Roslan Zainal Al-Ahmadi turut hadir dalam sidang media tersebut.

Menurut Andansura, tidak dinafikan bahawa sudah terlalu banyak krisis ekonomi yang telah membebankan kehidupan rakyat dalam negara ini di mana rakyat bukan sahaja menghadapi masalah perjudian semata-mata tetapi juga amalan riba.

“Apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah kewujudan ‘Ah Long’ yang mana perkara sebegini sudah sahaja masuk isu riba tetapi juga gangsterisme.

“Perkara sebegini berlaku kerana tiada penyediaan wang yang seharusnya memberi bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan peniaga kecil adalah seorang daripadanya.

“Mereka tidak boleh mendapatkan bantuan daripada mana-mana bank pun kerana pihak bank sendiri ingin menjaga keuntungan semata-mata.

“Maka, itu yang menyebabkan ada yang terpaksa meminjam dengan Ah Long tetapi boleh lihat sendiri akibatnya apabila ingin membayar semula.

“Malah, seharusnya zakat juga memainkan peranan utama bagi membantu golongan yang benar-benar susah dan juga orang yang berhutang,” ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Rosli menyatakan sistem ekonomi yang adil berlandaskan Islam telah mula diperjuangkan sejak zaman Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.

Kata beliau, satu daripadanya ialah melalui penubuhan Ar-Rahnu yang mana institusi tersebut sudah banyak digunakan dalam negara ini.

“Jadi, apa yang saya ingin menjelaskan di sini ialah PAS mempunyai solusi-solusi dalam menyelesaikan masalah ekonomi iaitu berlandaskan Islam.

“Kita ingin menunjukkan bahawa Islam dapat menyelesaikan apa jua masalah yang berlaku dalam negara ini,” katanya.

Beliau menyatakan solusi sebegini juga akan ditawarkan kepada rakyat negeri Pahang sekiranya memberi peluang kepada PAS untuk mentadbir negeri tersebut.

“Insyaallah kita akan melaksanakan perkara tersebut sekiranya PAS menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -