
KLUANG: Sepanduk dan gegantung ‘Dijamin Halal’ mewarnai perarakan calon PERIKATAN NASIONAL bagi Plihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung hari ini.
Penyokong-penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menyertai perarakan tersebut bersama-sama mengangkat sepanduk tersebut selain sepanduk mengandungi gambar calon.
Senario ini dilihat menghangatkan isu yang dicetuskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok baru-baru ini yang menyifatkan pensijilan halal sebagai sesuatu yang memalukan negara, yang kemudian meraih kritikan di peringkat nasional sebagai satu tindakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Sementara itu, perarakan barisan penyokong PN itu mula bergerak kira-kira jam 8.15 pagi dari lokasi berkumpul iaitu di tempat letak kereta Taman Tasik, Jalan Besar.
Calon PN, Mohamad Haizan Jaafar atau Coach Haizan, 61, kemudian berjalan melalui Jalan Besar untuk ke Dewan Tunku Ibrahim Ismail bagi proses menyerahkan kertas pencalonan.
Turut hadir mengiringi calon ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Presiden BERSATU merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Nik Amar Abdullah; Timbalan Pengerusi PN Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee
Antara pimpinan PN yang hadir ialah Pengerusi Perhubungan PNl Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; Pengerusi GerakanJohor, Teo Kok Chee; dan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz.
Sehubungan itu, pada hari ini ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai hari penamaan calon sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.
DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.
Allahyarham memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH. – HARAKAHDAILY 14/9/2024




















